Al-Awfar Bank Islam sasar kumpul deposit RM300j

Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) menjangka jumlah pelanggan baru bagi deposit produk simpanan dan pelaburan terbarunya Al-Awfar akan meningkat sehingga 50,000 orang, bagi tempoh tiga bulan mulai September hingga November ini.

Pengurus Besar Bahagian Perbankan Penggunanya, Khairul Kamarudin berkata, sehingga kini Bank Islam telah menarik 42,000 pelanggan baru, iaitu hampir 50 peratus daripada sasaran sejak pelancaran produk itu pada 25 Mac yang lalu.

"Kami yakin dapat mencapai jumlah tersebut berikutan sambutan menggalakkan yang mana 80 peratus pelanggan terdiri daripada kaum Melayu manakala bakinya kaum bukan Melayu.

"Melalui strategi yang lebih agresif dan fokus, kami yakin mampu meraih deposit RM300 juta daripada akaun Al-Awfar, pada akhir tahun ini," katanya selepas menyampaikan hadiah utama bernilai RM100,000 kepada pemegang akaun pelaburan-i Al-Awfar untuk cabutan pertamanya, di sini hari ini.

Al-Awfar bermaksud pelaburan yang menguntungkan.

Produk berlandaskan Syariah, Al-Awfar yang pertama seumpamanya dilancarkan mempunyai keunikan sendiri apabila pemegang akaun berpeluang menerima hadiah sehingga RM100,000.

Cabutan pemenang akan dibuat setiap tiga bulan dan pada masa yang sama pemegang akaun masih boleh melakukan simpanan dan menerima keuntungan.

Selain itu, kata beliau, pihaknya akan terus memperkenalkan beberapa produk baru berlandaskan syariah pada tahun ini, termasuk produk pembiayaan peribadi dan kad kredit.

"Kami telah mendapatkan kelulusan untuk melancarkan produk-produk tersebut dan sedang membuat pemasaran.

Ditanya mengenai kadar pinjaman tidak berbayar (NPL), beliau berkata, kadar tersebut sedang mengalami penurunan.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2008, Bank Islam mencatat NPL sebanyak 15 peratus, katanya sambil menambah, setakat ini NPL berada pada kadar satu angka.

Sehingga Mac lalu, Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat berkata, Bank Islam mencatat kadar NPL sebanyak 6.1 peratus.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url