KPI menteri diumum Jun 2010

Penilaian tahap pertama terhadap Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Nasional dan KPI Menteri-Menteri Kabinet akan diumumkan pada Jun tahun depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, ia dilakukan setelah melalui proses enam bulan selepas pelan tindakan KPI Nasional dan menteri diumumkan pada Januari 2010.

''Ini cukup mencabar bagi menunjukkan sejauh mana tahap penyampaian untuk selesaikan masalah-masalah utama rakyat bagi membolehkan kita mara ke depan dalam mencapai perpaduan negara.

''Di samping itu, kita perlu menentukan daya saing ekonomi dan menjamin pertumbuhan sosioekonomi yang seimbang dan berterusan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau menjelaskan mengenai KPI Nasional dan KPI Menteri-menteri sebagai pencapaian terhadap enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) Nasional yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 11 Julai lalu.

Sempena 100 hari pentadbirannya Sabtu lalu, Najib mengumumkan enam KRA Nasional untuk mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan.

Keenam-enam bidang itu ialah mencegah jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan serta meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah.

Selain itu, ia juga meliputi memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Menurut Tsu Koon, pelan tindakan bagi KPA Nasional akan diumumkan satu persatu oleh Perdana Menteri dan menteri-menteri terbabit mulai September ini.

Jelas beliau, untuk itu satu pelan sistem penyampaian yang konkrit bagi KRA tersebut akan dirumuskan dalam Bengkel Kabinet keempat pada penghujung Ogos ini.

''Pada hujung bulan ini, Perdana Menteri akan umumkan sekurang-kurangnya satu KPI bagi KRA Nasional tersebut.

''Ini sebagai sasaran untuk sama-sama mencapainya dalam tempoh tertentu seperti antara satu hingga dua tahun seperti meningkatkan keberkesanan pengangkutan awam di kawasan bandar," katanya.

Tsu Koon berkata, dari November hingga Disember ini, Perdana Menteri akan berbincang dan membuat penilaian dengan setiap menteri mengenai KRA dan KPI di kementerian masing-masing.

''Bagi KRA tertentu, ada yang dapat dicapai dalam jangka masa pendek seperti meningkatkan bekalan air dan elektrik bagi penduduk luar bandar.

''Bagaimanapun selepas enam aspek yang ditentukan dalam KRA itu tercapai, kita akan tumpukan kepada isu-isu lain yang dibangkitkan oleh rakyat," katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap orang ramai dapat memberikan pandangan dan maklum balas terhadap KRA tersebut.

''Ini boleh dilakukan melalui media massa, tinjauan ramai secara dalam talian, maklum balas secara terus kepada jabatan dan agensi terbabit atau melalui penilaian di kaunter," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url