Artis, pemuzik mangsa baru H1N1

Artis dan pemuzik antara 53 kes baru disahkan dijangkiti virus selesema A (H1N1), menjadikan jumlah keseluruhannya 627 kes.

Daripada jumlah itu, 12 kes penularan tempatan, menjadikan jumlah semuanya 171 kes.

Penghibur 42 tahun itu bercuti ke Singapura, dan pulang dengan penerbangan tambang murah republik itu pada 1 Julai, kini mendapat rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Sementara pemuzik di sebuah kelab hiburan berusia 29 tahun, yang tiada rekod ke luar negara, sedang dirawat di Hospital Tawau.

Beliau merupakan kontak kes 427, seorang penyanyi 24 tahun yang turut dirawat di tempat yang sama.

Daripada jumlah semua pesakit influenza A (H1N1) yang telah disahkan, sejumlah 495 orang (atau 78.9 peratus) telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital.

"Baki pesakit yang sedang dirawat di hospital berjumlah 132 orang," kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Susulan penularan terbaru wabak tersebut, sekolah sekolah dan taman pendidikan prasekolah mengambil langkah menutup institusi masing-masing secara sukarela.

Dua kes import melibat pelajar Sekolah Antarabangsa Alice Smith,
Sri Kembangan setelah kedua-duanya menyertai rombongan
sekolah ke New York.

Satu kes tempatan yang melibatkan pelajar Tadika Gospel Chapel Kerokop di Miri mendorong pengurusan tadika menutupnya.

Terdapat dua lagi kes penularan tempatan di sebuah syarikat swasta di Cyberjaya, menjadikannya 14 kes - yang mengukuhkan petunjuk awal bahawa terdapat penularan influenza A(H1N1) di dalam komuniti, kata Dr Mohd Ismail lagi.

- MALAYSIAKINI
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url