Impian 2 - Diana bukan selektif


Diana Amir kini mencari ruang untuk lebih aktif di bidang lakonan.BINTANG muda ini semakin dikenali ramai. Menjinakkan diri dalam bidang lakonan, kemunculan pertamanya menerusi watak utama, Aleeya dalam siri TV Impian setahun lalu dilihat sebagai kayu pengukur yang cukup besar buat dirinya.

Bukan sahaja kerana menjadi 'bahan' dibandingkan dengan watak utama siri Impian Ilyana lakonan Lydia Ibtisam tetapi juga kerana itulah pengalaman pertamanya beraksi di hadapan kamera.

Melihatkan lakonannya, tidak keterlaluan dikatakan pemilik nama Diana Amir, 23, ini cukup bersahaja dan bakatnya mempunyai peluang yang cerah di masa hadapan.

Biarpun awal-awal lagi dia sudah menerima tentangan daripada keluarga rentetan minatnya terhadap lakonan, namun, tekadnya yang kuat meleburkan segala tentangan.

Lalu, dalam menilai bakat dan impian, restu keluarga akhirnya berpihak juga kepadanya.

Bertemu gadis manis ini pada majlis pelancaran drama Impian musim kedua (Impian 2) di The Apartment, The Curve, Damansara baru-baru ini, akui Diana kini peluang untuknya bergiat aktif dalam lakonan lebih terbentang luas.

Apatah lagi, bakal menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sumber Manusia di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 24 Julai ini, dia mempunyai ruang untuk menyusun semula jadual seninya yang agak terhad sebelum ini.

Setahun sebagai anak seni, sebenarnya tidak banyak yang disenaraikan dalam profil lakonan pelakon muda ini.

Selain Impian, Diana antara barisan pelakon yang terlibat sebagai minah rempit dalam filem Rempit V3.

Tidak banyak berlakon bukan kerana dia selektif dengan watak yang diberikan tetapi kerana perlu mendahulukan pelajaran sebagai jaminan masa depan.

"Saya minat dengan lakonan tetapi dalam masa yang sama saya perlu utamakan pelajaran sebagai jaminan di masa depan.

"Selagi ada tawaran, selagi itu pendapatan akan ada tetapi ia masih belum dapat menjanjikan apa-apa.

"Sebelum ini bukan saya tidak menerima apa-apa tawaran. Ada tawaran, tetapi kebanyakannya saya tolak kerana jadual belajar tidak mengizinkan. Kalau nak terima sekalipun hanyalah untuk penggambaran yang melibatkan satu atau dua hari sahaja.

"Sekarang, masa untuk berlakon lebih banyak. Cuma dari segi kerjaya, saya tidak pasti lagi sama ada nak sambung belajar, bekerja ataupun meneruskan kerjaya sebagai pelakon," katanya.

Sebagai 'orang baru' di pentas lakonan, Diana mengakui dunia glamor banyak mengajarnya erti kesabaran.

Bukan sahaja menjadi perhatian masyarakat malah, privasi yang pernah dikecapinya suatu masa dahulu terpaksa dikorbankan demi mengejar cita-citanya.

"Walaupun suka berlakon tetapi satu yang saya tak tahan ialah kontroversi. Biarpun bukan melibatkan kontroversi yang besar tetapi apa sahaja yang dilakukan pasti akan menjadi perhatian umum.

"Dari situ, kekurangan yang jelas ialah privasi itu sudah tiada," kata Diana lagi.

Siri Impian 2 sebanyak 26 episod disiarkan setiap Selasa di TV3 bermula 14 Julai lalu pukul 11 malam.

Selain Diana yang membawakan watak Aleeya, pelakon lain yang masih kekal termasuklah Wardina Saffiyah (Kak Ju), Esma Daniel (Azri), Kamal Adli (Johan), Al-Hafiz (Kay) dan Junad (Nik).

Kesinambungan daripada musim pertama, antara kelainan yang diketengahkan untuk musim kali ini ialah penampilan empat wajah baru iaitu Azwan (Kechik), Liyana Hashim (Tuti), Lufyah (Lily) dan Nadiya Nisaa (Rehan).

Lebih menarik, sepanjang 30 minit bersiaran, hiburan penonton disaratkan dengan pelbagai telatah lucu Aleeya dan rakan-rakannya dalam menyelesaikan pelbagai masalah yang mereka hadapi.

Bercerita tentang siri tersebut, kata Diana, selain wataknya yang lebih bersahaja, kehadiran empat pelakon baru menambah lagi 'rencah' kepada siri yang meletakkan remaja sebagai sasaran utama itu.

"Musim lalu saya masih baru tambahan pula tiada sebarang pengalaman dalam lakonan. Berbanding musim kali ini, saya rasa lebih selesa sebab sudah kenal dengan semua krew dan juga barisan pelakon yang terlibat," katanya.

Sebagai penonton, anda berhak menentukan pengakhiran untuk setiap episod. Caranya mudah sahaja, hantarkan SMS dengan memilih satu antara dua babak yang bakal di senaraikan di setiap akhir episod.

Melaluinya, 10 penghantar SMS terawal berpeluang memenangi hadiah mingguan yang disediakan.

Pastikan temu janji anda bersama Impian 2, setiap Selasa pada pukul 11 malam.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url