Insurans kenderaan lama boleh buat di pejabat pos

Pemilik kenderaan lama yang gagal memperbaharui polisi kenderaan menerusi syarikat insurans, kini boleh berbuat demikian menerusi 684 cawangan pejabat pos di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak berkuatkuasa semalam.

Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam) dalam kenyataannya semalam mengumumkan, orang ramai kini boleh mendapatkan perlindungan dengan mudah menerusi skim Insuran Kenderaan Berkelompok Malaysia (MMIP), yang diwujudkan untuk kemudahan rakyat negara ini.

“Berkuatkuasa semalam, pemilik kenderaan dan motosikal boleh membeli perlindungan insurans MMIP daripada pejabat Pos Malaysia Bhd di seluruh negara.

“Selain itu, pembaharuan insurans teksi dan bas di Sabah dan Sarawak juga boleh dibuat di pejabat pos negeri berkenaan berkuatkuasa hari ini (semalam). Bagaimanapun, insurans teksi dan bas bagi negeri lain menerusi pejabat pos hanya bermula 24 Julai ini,” kata kenyataan itu.

Berita Harian melaporkan beberapa syarikat insurans menolak permohonan memperbaharui perlindungan insurans kenderaan berharga bawah RM10,000, termasuk teksi kerana dianggap merugikan.

Dianggarkan 4.8 juta kereta berusia 10 tahun dan ke atas bernilai bawah RM10,000 berada di jalan raya pada masa ini, termasuk lebih 900,000 Proton dan 300,000 kenderaan keluaran Perodua, iaitu Kancil, Rusa dan Kembara, yang didaftar antara 1994 hingga 1999.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url