Jurulatih Kelantan salahkan padang


Padang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, cuma sesuai dijadikan padang ragut lembu dan bukannya pentas perlawanan bola sepak Liga Super.

Demikian pandangan jurulatih Kelantan, Peter Butler, yang kecewa dengan keadaan padang yang menurutnya, tidak rata dan mempunyai tompokan tidak berumput.

Selepas menyaksikan pasukan kendaliannya tewas 0-2 di tangan Terengganu, jurulatih Inggeris itu berkata, padang di stadium itu tidak sepatutnya digunakan untuk perlawanan bola sepak.

“Ia lebih sesuai digunakan sebagai padang ragut untuk lembu dan bukannya tempat pemain profesional berlari dan menunjukkan kebolehan dan kemahiran mereka.

“Saya belum pernah melihat keadaan padang seburuk ini sejak berada di negara ini dan sepatutnya tidak dijadikan medan perlawanan bola sepak,” katanya apabila ditemui selepas perlawanan.

Kata Butler lagi, beliau berani bersemuka dengan sesiapa saja yang berpendapat padang stadium itu layak diluluskan sebagai memenuhi syarat pertandingan.

“Keadaan padang menyukarkan pemain Kelantan untuk mempamerkan permainan biasa dan ia seperti pasukan Arsenal cuba bermain bola sepak dengan Stoke City di atas padang kampung.

“Jika itu tidak cukup sukar, beberapa keputusan pengadil juga meragukan, terutama sekali apabila penyerang Indra Putra Mahayuddin dilayangkan kad merah pada minit ke-79,” katanya.

Butler berkata, rayuan akan dibuat ke atas kad merah yang diterima Indra kerana dia tidak menyentuh pemain tengah Terengganu, Tengku Hazman Raja Hassan, yang tiba-tiba jatuh sambil meraung kesakitan.

“Sepatutnya, perlawanan di antara Terengganu dan Kelantan diadakan di padang lain walaupun pihak tuan rumah tidak mempunyai banyak pilihan selepas bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh.

“Kami juga tidak mempunyai pilihan sebelum ini apabila FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) melarang penggunaan Stadium Sultan Mohamad (IV) dan kami terpaksa akur dengan arahan untuk bermain permainan tempat sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil,” katanya.

Presiden Persatuan Bola Sepak Terengganu, Datuk Che Mat Jusoh, apabila ditemui selepas perlawanan, berkata sudah menjadi adat pasukan yang kalah akan mencari pelbagai alasan untuk menyedapkan hati mereka.

“Pasukan lain juga bermain di padang yang sama, namun kita tidak mendengar komen negatif seperti itu.

_ HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url