Kaji semula kadar tambang

Kerajaan diminta mengkaji semula kenaikan kadar tambang pengangkutan awam kerana ia menambahkan kos harian orang ramai yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

Rata-rata pengguna perkhidmatan pengangkutan awam agak kecewa dan beranggapan ia tidak wajar dinaikkan sekarang dalam keadaan kelembapan ekonomi global sekarang.

Setiausaha Agung Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Muhammad Shaani Abdullah berkata, kenaikan kadar tambang itu sememangnya membebankan rakyat.

Katanya, kerajaan harus mencari kaedah lain untuk mengurangkan kos operasi bukan meletakkan beban tersebut kepada pengguna.

''Kemudahan awam kebiasaannya digunakan oleh orang yang berpendapatan rendah, jadi bila kadar tambang dinaikkan ia bakal menyusahkan dan membebankan mereka.

''Baru-baru ini kerajaan kata mahu bantu kurangkan beban rakyat dengan mengumumkan 11 hadiah, tetapi sekarang naikkan tambang pula dan ia sama sekali tidak wajar,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shaani berkata, jika kadar tambang dinaikkan maka kualiti perkhidmatan juga sepatutnya ditingkatkan, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Kenaikan kadar tambang baru tersebut akan bermula 1 Ogos ini merangkumi bas ekspres, bas henti-henti, bas mini, bas pengantara, bas sekolah, teksi, teksi lapangan terbang dan kereta sewa.

Kali terakhir tambang pengangkutan awam tersebut disemak adalah pada Mei 2005 manakala bas sekolah pula pada April 2006.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr. Jacob George berkata, kerajaan perlu prihatin dengan semua golongan bukan golongan tertentu sahaja.

Katanya, kenaikan tersebut memberi gambaran bahawa kerajaan tidak mengkaji secara mendalam kesan kepada semua golongan.

''Jika hanya ikut permintaan pengusaha pengangkutan awam sahaja maka ia tidak adil, bagaimana pula dengan pengguna.

''Kerajaan perlu mengadakan perbincangan dengan kedua-dua pihak, pengguna dan juga pengusaha sebelum memutuskan untuk melaksanakan kenaikan tersebut,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url