Syarikat insurans tak boleh sewenangnya tolak tuntutan pesakit
Satu perkembangan yang amat melegakan pengguna perkhidmatan kesihatan bakal direalisasikan apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mempertimbangkan satu klausa khas untuk pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan (MHIT) Asas.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, berkata pihak berkuasa sedang merangka pengenalan mekanisme 'no look-back' bagi melindungi hak pengguna.
Melalui klausa berkenaan, katanya, selepas satu tempoh perlindungan berterusan dipersetujui, syarikat insurans dan pengendali takaful tidak lagi dibenarkan menolak tuntutan pesakit atas alasan penyakit sedia ada.
Tegasnya, ia juga akan menghalang penolakan tuntutan berikutan kegagalan pendedahan penyakit masa lalu.
"Bagi pemegang polisi, ini memberikan kepastian jangka panjang dan keyakinan perlindungan mereka akan terpelihara apabila mereka memerlukannya," katanya kepada BH dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.
Beliau berkata, arah tuju produk baharu itu amat jelas yang mana ia tidak akan berfungsi seperti produk perlindungan perubatan swasta semasa yang kadang kala menolak tuntutan atas sebab teknikal.
Beliau menjelaskan, pelan yang dikawal selia itu bertujuan menawarkan tahap perlindungan yang jauh lebih inklusif, wajar dan berterusan kepada segenap lapisan rakyat.
Pada kebiasaannya, Abdul Rasheed berkata, pengendali insurans dan takaful (ITO) mengamalkan pengumpulan risiko yang mana premium dikumpul daripada ramai pemegang polisi bagi membentuk satu dana bersama untuk membiayai rawatan perubatan yang tidak menentu.
Bagi menjaga kemampanan kumpulan risiko itu, katanya, ITO secara lazimnya mengecualikan atau mengehadkan penyakit sedia ada untuk mengelak individu daripada mendapatkan perlindungan hanya selepas mereka jatuh sakit.
"Jika tidak, ia akan meningkatkan tuntutan dan menyebabkan premium menjadi terlalu tinggi dan tidak mampu dibayar. Ini akan ada implikasi kepada pelanggan yang sihat yang terpaksa menanggung beban kos yang lebih tinggi," katanya.
Abdul Rasheed berkata, Pelan MHIT Asas bertujuan memperluas akses kepada perlindungan perubatan, termasuk bagi individu yang mempunyai penyakit sedia ada namun stabil dan terkawal.
Muktamad mekanisme
Justeru, katanya, BNM sedang memuktamadkan mekanisme itu bersama input daripada pakar perubatan serta pihak industri.
Katanya, perincian itu merangkumi tempoh menunggu untuk kelulusan dan peraturan pengunderaitan yang konsisten.
"Langkah ini penting bagi memastikan imbangan tercapai, iaitu memperluas akses kepada individu yang mempunyai penyakit sedia ada dalam keadaan terkawal, sambil mengekalkan premium mampu milik. Perincian mekanisme ini akan dimuktamadkan sebelum pelancaran Pelan MHIT Asas," katanya.
Mengulas projek perintis Pelan MHIT Asas pada separuh kedua 2026, Abdul Rasheed berkata, projek perintis itu akan menjadi penentu utama sebelum pelancaran penuh pada 2027.
Katanya, tumpuan dalam fasa itu adalah pada tahap kesediaan ekosistem, termasuk di peringkat sektor insurans/takaful dan hospital swasta.
"Ia akan dilaksanakan bagi mengenal pasti isu teknikal, menguji kesiapsiagaan operasi dan mengumpul maklum balas pengguna.
"Jika pelarasan diperlukan sama ada dari segi struktur produk, reka bentuk manfaat atau garis masa pelaksanaan, kita akan memperhalusi model yang ada sebelum pelancaran penuh supaya pelaksanaan kelak benar-benar lancar," katanya.
Sumber : Berita Harian

