KPI nasional 6 bidang utama

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Nasional yang merangkumi enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA), termasuk usaha mencegah jenayah dan memerangi rasuah.

KRA lain termasuk usaha meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkat taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman, serta menambah baik pengangkutan awam sebagai jangka masa sederhana.

Najib berkata, butiran lanjut akan diumumkan selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan kerajaan akhir bulan ini.

"Seawal memegang tampuk pentadbiran tertinggi negara, saya mengumumkan KPI bagi rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan.

"Tujuan saya mewujudkan KPI bagi anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam ini untuk memastikan terdapat garis panduan jelas kepada kedua-dua penggubal dan pelaksana dasar dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

"Ia juga menyediakan landasan yang jelas kepada rakyat untuk menilai prestasi mereka. Saya percaya langkah ini akan dapat mengukuhkan prinsip kebertanggungjawaban," katanya berucap pada majlis '100 Hari Najib Bersama Rakyat 11 Julai 2009' di Dewan Pameran Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

KPI diwujudkan bagi membolehkan rakyat mengukur pencapaian anggota pentadbiran kerajaan dan untuk memastikan ada garis panduan jelas kepada penggubal dan pelaksana dasar dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

Najib berkata, beliau akan bersikap tegas dalam membuat sesuatu keputusan kerana jika tidak ada rakyat akan terumbang-ambing dalam ketidakpastian.

"Pendekatan kerajaan berlandaskan berfikir dan mendengar hasrat serta rintihan rakyat kerana era kerajaan tahu segala-galanya sudah berakhir. Proses mendengar luahan rakyat akan dibuat dalam hampir semua keputusan penting kerajaan, seperti membabitkan kajian mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang mana pendapat awam, Majlis Peguam dan sebagainya akan diambil kira, " katanya.

Selain itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited memerangi jenayah kerana tugas besar itu adalah amanah rakyat.

"Jika tidak rakyat akan menuding jari (salahkan kerajaan), bila tiba masa (pilihan raya) akan tahu rakyat. Saya mahu kita bertanggungjawab kepada rakyat Malaysia, " katanya.

- BERITA MINGGU
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url