Lebih 6 bilion dana amanah Bumiputera belum dilanggan

Lebih enam bilion unit saham amanah membabitkan semua dana saham amanah di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB) selain Amanah Saham Bumiputera (ASB) masih tersedia untuk langganan pelabur Bumiputera.

Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman, berkata daripada jumlah itu, 1.7 bilion adalah unit Amanah Saham Wawasan (ASW), Amanah Saham Didik (1.6 bilion), Amanah Saham Nasional (921 juta) dan Amanah Saham Nasional 2 (2.2 bilion).

Beliau berkata, setakat ini PNB telah menerima pelaburan bernilai RM77 bilion daripada masyarakat Bumiputera tetapi masih banyak peluang pelaburan dalam unit saham amanahnya yang boleh dilanggan golongan itu.

“Justeru, PNB menggesa masyarakat Bumiputera supaya mengambil peluang ini kerana dalam suasana ekonomi yang semakin pulih, inilah masa sesuai untuk untuk membeli (unit saham amanah) kerana apabila ekonomi pulih sepenuhnya kelak, harganya akan menjadi lebih tinggi,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas pelancaran Buku Antologi Sajak sempena ulang tahun ke-30 PNB di Kuala Lumpur, semalam. Pelancarannya disempurnakan oleh Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji.

Hamad Kama Piah berkata, masyarakat bukan Bumiputera dilihat lebih agresif merebut peluang melanggan unit saham amanah di bawah PNB yang langganannya turut dibuka untuk mereka.

Beliau berkata, ia terbukti semasa pelancaran Amanah Saham Malaysia (ASM) yang mana semua unit yang ditawarkan untuk langganan bukan Bumiputera habis dilanggan dan kini cuma tinggal kira-kira 1.6 bilion unit yang diperuntukkan untuk Bumiputera.

“Jika unit itu masih tidak dilanggan, PNB mungkin membuka langganannya kepada masyarakat bukan Bumiputera,” katanya.

Mengulas laporan Berita Harian yang mengatakan PNB akan melancarkan saham amanah berharga tetap dengan anggaran saiz dana hampir RM3 bilion, Hamad Kama Piah berkata, PNB sentiasa berusaha memperkenalkan produk baru bagi memberi peluang kepada pelabur sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera melabur dalam saham amanah yang diuruskannya.

“Buat masa ini, itu saja dapat saya nyatakan dan jika ada pelancaran produk baru, kita akan umumkan secara rasmi,” katanya.

Sementara itu, semua sajak yang terkandung dalam Buku Antologi Sajak yang dilancarkan semalam menceritakan mengenai PNB, sejarah dan harapan serta cabaran yang melingkari institusi pelaburan itu sepanjang 30 tahun ia berusaha memartabatkan ekonomi masyarakat Bumiputera.

Antara penyair yang berkarya untuk buku berkenaan termasuk seniman negara, Datuk A Samad Said, Datuk A Aziz Deraman, Abdul Ghafar Ibrahim, Lim Swee Tin dan Dr Siti Zainon Ismail.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url