Manoharan minta maaf isu songkok, status bumiputera

Berikutan desakan daripada pelbagai pihak, M. Manoharan hari ini meminta maaf berhubung kenyataannya yang mempertikaikan pemakaian songkok dan mahukan bukan Melayu diberikan status bumiputera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah dari DAP itu memohon maaf sekiranya kenyataan peribadinya itu telah mengecilkan hati atau mengguris perasaan mana-mana pihak.

''Saya sesungguhnya tidak mempunyai apa-apa niat terselindung dan ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak pernah pada bila-bila masa menyoal hak-hak orang Melayu seperti yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Saya juga amat menghormati baju kebangsaan kita termasuk songkok," katanya dalam sepucuk surat yang diserahkan kepada Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican di Ibu Pejabat GPMS di sini hari ini.

Manoharan ketika muncul buat kali pertama pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada 8 Julai lalu selepas dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) Mei lalu menyatakan kurang senangnya melihat Speaker DUN itu dari parti DAP, Teng Chang Khim memakai songkok semasa menjalankan tugasnya.

Manoharan dilaporkan berkata, beliau tidak berapa gembira dengan pemakaian songkok kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza.

Pada sidang akhbar selepas persidangan DUN itu, Manoharan juga didakwa menuntut supaya kerajaan memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu di negara ini yang lahir selepas 31 Ogos 1957 selaras dengan usaha merealisasikan gagasan 1Malaysia.

Dalam pada itu, Reezal Merican pada sidang akhbar selepas menerima surat itu berkata, permohonan maaf itu adalah susulan kepada laporan polis yang dibuat GPMS terhadap Manoharan pada Ahad lalu ekoran tindakannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam oleh Naib Presiden GPMS, Jais Abdul Karim dengan diiringi oleh 20 ahli gabungan itu dan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Gabungan Badan NGO Malaysia juga telah merancang untuk membuat laporan polis di setiap negeri bagi mendesak Manoharan ditahan semula di bawah ISA sekiranya beliau masih bertegas untuk tidak memohon maaf.

Menurut Reezal Merican, pihaknya tidak akan menarik balik laporan polis itu walaupun Manoharan telah datang sendiri berjumpa pihaknya bagi menyerahkan surat permohonan maaf itu.

Katanya, ketika perjumpaan itu, beliau telah mengingatkan Manoharan supaya tidak mengulangi kenyataan sedemikian kerana ia boleh mencetuskan ketegangan antara kaum.

Menurut beliau, ADUN Kota Alam Shah itu juga telah menyatakan hasrat untuk berjumpa dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sekembalinya Perdana Menteri dari Mesir bagi memberi penjelasan berhubung kenyataannya itu yang didakwanya telah disalah tafsir oleh media.

Jelas beliau, dalam pertemuan itu nanti, Manoharan juga mahu menyatakan sokongan terhadap gagasan 1Malaysia yang berteraskan kepada konsep penerimaan, perkongsian dan kesaksamaan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url