Top Ad 728x90

,

Muat turun lagu Aizat 1.3 juta kali

Kegawatan ekonomi dan kelembapan jualan album sejak kebelakangan ini bukan menjadi halangan syarikat rakaman menerbit atau mengedarkan album artis-artis tempatan.

Syarikat rakaman Universal Music Malaysia misalnya, mampu menarik nafas lega apabila album single Aizat yang mereka edarkan berjudul Hanya Kau Yang Mampu mendapat sambutan luar dugaan daripada para peminat.

Pengurus Domestik Universal Music Malaysia, Mujahid Abdul Wahab berkata, album single Aizat itu telah dimuat turun melalui telefon bimbit sebanyak 1.3 juta kali sejak tahun lalu.

"Lagu Hanya Kau Yang Mampu merupakan lagu Aizat yang paling banyak dimuat turun menerusi telefon bimbit iaitu sebanyak 1.3 juta kali. Jumlah itu adalah hampir 90 peratus daripada keseluruhan lagu-lagu Aizat yang dimuat turun.

"Ini suatu pencapaian yang cemerlang buat penyanyi baru seperti Aizat dan juga dalam perkembangan jualan album tempatan yang semakin perlahan ketika ini," katanya pada majlis pelancaran album VCD Karaoke Aizat Percubaan Pertama di Red Box Karaoke, The Gardens, Mid Valley, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Album karaoke Aizat itu menampilkan 10 buah lagu berjudul Fikirlah, Hanya Kau Yang Mampu, Lagu Kita, Sahabat, Selamat Tinggal Akhirnya, Cintai Diriku, Melodi Cinta, Kau Aku, Pergi dan Itulah Dirimu.

Menurut Mujahid, ekoran penurunan mendadak jualan album, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) telah menurunkan jumlah anugerah emas jualan album kepada 5,000 unit.

Katanya, pemberian anugerah emas itu dikecilkan skalanya bagi disesuaikan dengan pasaran album dan keperluan semasa yang sedang berlaku dalam industri rakaman album di negara ini.

"Kalau 20 tahun dulu sesebuah album yang dijual melebihi 25,000 unit baru dapat anugerah platinum tetapi sekarang ini RIM meletakkan jumlah 5,000 unit pun sudah layak untuk menerima pengiktirafan tersebut.

"Ia bersesuaian dengan zaman peralihan daripada bentuk audio iaitu fasa fizikal kepada era digital. Tetapi pada masa sama permintaan untuk album karaoke masih ada. Sebab itu, kami masih yakin untuk menerbitkan album karaoke Aizat ini," ujarnya.

Memandangkan sambutan para peminat terhadap lagu-lagu Aizat, Universal Music Malaysia katanya merancang untuk mengedarkan album kedua Aizat tahun depan.

Hadir sama pada majlis itu ialah bapa Aizat, Datuk Amdan Mat Din, Pengurus Pembangunan Perniagaan Red Box Karaoke, Desmond Chin dan wakil-wakil media massa.

Sementara itu, Aizat yang ditemui pada majlis itu berkata, dia berasa lebih yakin untuk tampil dengan album kedua tahun depan ekoran sambutan positif daripada para peminatnya.

Malah, penyanyi itu juga tidak menyangka percubaan pertamanya tampil dengan album dan lagu-lagu serta lirik-lirik ciptaannya sendiri berjaya menarik perhatian para peminat muzik di negara ini.

"Untuk album akan datang saya akan memuatkan enam buah lagu ciptaan saya sendiri. Saya bukan sahaja rasa puas kerana mencipta lagu-lagu sendiri tetapi saya juga dapati para peminat juga tiada masalah untuk menghayati lagu-lagu ciptaan saya.

"Daripada situlah saya dapat menguji kemampuan saya sebagai singer song writer atau penyanyi yang menyanyikan lagu-lagu sendiri. Lagipun di Malaysia tidak ramai singer song writer, contohnya macam John Mayer.

"Selebihnya barulah saya akan nyanyikan lagu-lagu ciptaan komposer lain. Mereka itu pun biasanya bukan orang lain tetapi abang serta kawan-kawan saya juga. Abang saya, Anas banyak mencipta lagu bersama-sama saya," jelasnya.

Tambah Aizat, dia bukan sahaja yakin dengan bakatnya menyanyi dan mencipta lagu, malah turut menggalakkan lebih ramai penyanyi mencipta lagu-lagu sendiri dalam album-album yang mereka terbitkan.

"Saya amat menggalakkan supaya lebih ramai penyanyi kita tampil dengan menyanyikan lagu-lagu sendiri kerana ia lebih dekat dengan citarasa dan kesesuaian mereka. Lagu-lagu yang kita cipta itu lebih jujur dan berkesan kerana ia datangnya daripada dalam diri kita sendiri," katanya lagi.

Keyakinan Aizat itu turut berhasil apabila lagu ciptaannya berjudul Hanya Kau Yang Mampu berjaya meraih anugerah Artis Baru Lelaki Terbaik dan Lagu Malaysia Paling Popular di Anugerah Planet Muzik 2009 di Jakarta, Indonesia pada 18 Julai lalu.

Lagu itu yang dipetik daripada album sulungnya berjudul Percubaan Pertama diterbitkan oleh syarikatnya sendiri, Kasi Gegar Entertainment Sdn. Bhd. dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia pada tahun lalu.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90