Pandemik Selesema Babi A (H1N1) dijangka berterusan

Rakyat diingatkan supaya tidak memandang remeh wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) yang kini berada pada tahap sederhana kerana ia boleh bertukar menjadi serius dan berlarutan untuk tempoh berbulan-bulan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kerajaan mengharapkan semua pihak termasuk sektor perkilangan memberikan kerjasama termasuk mematuhi arahan menutup premis masing-masing jika jangkitan menjadi serius.

''Pandemik ini dijangka berterusan di negara ini untuk tempoh berbulan-bulan, jadi saya berharap semua pihak dapat berganding bahu bagi menangani wabak ini supaya tidak menjadi serius seperti di Thailand dan Singapura," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul yang dibentangkan oleh Dr. Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) mengenai keberkesanan langkah-langkah kerajaan bagi mencegah wabak itu pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sebanyak 14 kes baru dilaporkan hari ini membabitkan 11 kes import dan tiga kes jangkitan tempatan menjadikan 158 kes sehingga kini.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, ketiadaan penutupan sempadan secara menyeluruh adalah antara punca wabak itu cepat merebak dengan angka terkini sebanyak 71,106 kes di 116 negara.

''Negara-negara ASEAN semasa mesyuarat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mencadangkan supaya sekatan sempadan secara menyeluruh dilakukan tetapi ia ditolak oleh badan dunia ini dengan alasan ia tidak berkesan kerana 35 peratus individu yang dijangkiti tidak menunjukkan simptom.

''Kita berasakan cadangan ini ditolak berikutan sebab-sebab politik dan bukan seperti alasan yang telah diberikan," katanya.

Sebagai langkah berjaga-jaga, kata beliau, pihaknya kini mengadakan dua kali saringan terhadap pelawat atau rakyat negara ini yang baru pulang dari negara-negara berisiko tinggi termasuk Amerika Syarikat (AS), Australia dan Filipina.

Dalam pada itu, mengulas arahan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya digunakan istilah selesema babi bagi merujuk wabak berkenaan, Tiong Lai menegaskan, pihaknya masih berpegang dengan arahan sebelum ini untuk mengunakan istilah influenza A (H1N1).

''Kita telah pun membuat satu ketetapan untuk menggunakan istilah influenza A (H1N1) dan semua kementerian memang diarahkan supaya menggunakan istilah sama agar tidak mengelirukan mana-mana pihak," jelasnya.

Jawapan beliau itu, menimbulkan perasaan tidak puas hati Hee Loy Sian (PKR-Petaling Jaya Selatan) yang kemudiannya bangun mencelah sambil menyifatkan menteri itu tidak menjawab secara jelas kenapa percanggahan itu boleh berlaku.

Perbuatan beliau itu kemudiannya ditegur oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menegaskan, soalan berbentuk politik tidak boleh ditanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, satu sesi perjumpaan akan diadakan dengan ahli-ahli Parlimen bagi mendapatkan pandangan mengenai cara terbaik mencegah wabak terbabit.

Menurut beliau, langkah itu dibuat berikutan banyak idea-idea bernas yang telah dikemukakan ahli-ahli Parlimen ketika membahaskan usul itu dan antaranya:

- Mempercepatkan pusingan peredaran udara di dalam kapal terbang bagi mengurangkan risiko penularan virus;

- Syarikat penerbangan menyediakan penutup muka kepada penumpang yang batuk secara berterusan di dalam pesawat;

- Diwajibkan pemeriksaan suhu badan penumpang sebelum menaiki pesawat;

- Menyediakan tempat kuarantin khas di dalam kapal terbang bagi menempatkan penumpang yang demam;

- Memantau perbuatan sesetengah kakitangan penguat kuasa di pintu-pintu masuk negara yang didapati tidak menyemak borang deklarasi kesihatan yang telah diisi oleh pelawat.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url