ASN 2 diumum 5.20 sen seunit

Amanah Saham Nasional Bhd. (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan bagi Amanah Saham Nasional 2 (ASN 2) sebanyak 5.20 sen seunit untuk tahun kewangan berakhir 30 Jun 2009.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, agihan pendapatan itu akan membabitkan pembayaran keseluruhan berjumlah RM11.67 juta yang memberi manfaat kepada 10,962 pemegang unit yang memegang 224.34 juta unit ASN 2.

Beliau berkata, krisis ekonomi dan kewangan global telah memberi kesan kepada bursa tempatan dan seterusnya ASN 2.

''Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) menyaksikan penurunan sebanyak 9.33 peratus daripada 1,186.57 mata pada 30 Jun tahun lalu kepada 1,075.84 pada 29 Jun lalu.

''Sentimen yang lemah dengan pasaran saham tempatan didagangkan dalam jajaran sempit sepanjang tempoh kajian.

''Walaupun pasaran menunjukkan sedikit pemulihan kebelakangan ini, pemulihan sebenar akan bergantung kepada perkembangan ekonomi dunia yang dijangka menunjukkan tanda positif pada separuh kedua tahun ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman pengagihan pendapatan ASN 2 di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman. ASNB merupakan anak syarikat milik penuh PNB.

Tambah Ahmad Sarji, berdasarkan nilai aset bersih ASN 2 pada 29 Jun, iaitu RM0.9630 seunit, kadar hasil pengagihan pendapatan yang diperoleh pemegang unit ialah 5.71 peratus.

Sehingga 29 Jun, ASN 2 mencatatkan pendapatan kasar sebanyak RM10.81 juta.

Daripada jumlah itu, pendapatan dividen yang diterima daripada syarikat-syarikat pelaburan menyumbang sebanyak RM6.69 juta atau 61.89 peratus, penjualan saham menyumbang sebanyak RM2.31 juta atau 21.37 peratus manakala pendapatan daripada pelaburan jangka pendek menyumbang sebanyak RM1.81 juta atau 16.74 peratus.

Semua urus niaga ASN 2 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan pada 24 Jun sehingga 30 Jun bagi membantu pengagihan pendapatan.

Pengagihan pendapatan ASN 2 berdasarkan pegangan unit pada 30 Jun iaitu hari terakhir tahun kewangan tabung ASN 2 dan akan dilaburkan secara automatik serta dikreditkan ke dalam buku pelaburan pemegang unit berdasarkan nilai aset bersih ASN 2 pada 30 Jun.

Bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 2 menerusi Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan.

Penyata pengagihan pendapatan serta laporan tahunan akan dihantar mulai penghujung Ogos.

ASN 2 merupakan dana pertumbuhan dengan objektif memberi peluang kepada pemegang unit menikmati jumlah pulangan yang berpatutan menerusi pengagihan pendapatan dan peningkatan nilai pelaburan pada tahap risiko yang bersesuaian menerusi portfolio pelaburan yang dipelbagai. Ia dibuka kepada pelabur berusia 18 tahun ke atas.

Sementara itu, Hamad Kama Piah berkata, pengagihan pendapatan tersebut menggambarkan keadaan pendapatan pada tahun ini yang berkurang berbanding tahun lalu.

''PNB mempunyai kapasiti pengagihan dividen sebanyak 9.73 sen, tetapi telah mengambil keputusan membawa kehadapan sebanyak 4.50 sen pada tahun hadapan.

''Sekiranya keadaan ekonomi serta pasaran pada tahun hadapan kekal seperti sekarang, PNB masih mampu memberikan pengagihan pendapatan,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url