Top Ad 728x90

Pelaksanaan NKRA dan KPI perlukan kesungguhan

Pengumuman Indeks Prestasi Utama (KPI) enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) sememangnya sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu setelah begitu banyak yang diperkatakan sebelum ini.

Rakyat menyandarkan harapan besar terhadap pengumuman itu ketika kepimpinan baru di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu mengutamakan kepentingan rakyat dan mendahulukan pencapaian.

Sebenarnya teras NKRA yang ditumpukan bukan perkara baru tetapi keberhasilannya pasti meningkatkan lagi keyakinan rakyat terhadap usaha untuk memantapkan pentadbiran negara.

Ini kerana kepimpinan negara tidak lagi mahu dilihat sekadar bermain dengan slogan semata-mata.

Sebaliknya mereka mesti mengotakan apa yang dikata. Lagi pun, rakyat kini lebih kritis dalam menilai setiap apa yang dilakukan kerajaan.

Kejayaan yang bakal dicapai, bakal membezakan apa yang dijanjikan oleh kerajaan kepada rakyat berbanding dengan pembangkang. Biasanya pembangkang hanya mengeluarkan janji-janji manis bak madu tetapi kosong tanpa isi.

Di sebalik tiada keluarbiasaan tentang teras bidang yang diberikan tumpuan seperti mengurangkan kadar jenayah dan memerangi rasuah, ia tetap mewakili perubahan yang diingini oleh rakyat.

Begitu juga bidang lain yang menjurus kepada meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; dan menambah baik pengangkutan awam dalam jangka sederhana.

Pelantikan menteri sebagai peneraju dalam setiap teras bidang atau NKRA merupakan langkah yang sepatutnya dilakukan supaya individu berkenaan menyedari peranannya terhadap rakyat dan tidak lagi bersikap lepas tangan seperti mana sebelumnya.

Rakyat sebenarnya mengharapkan pemimpin yang mereka lantik supaya bertanggungjawab terhadap segala-gala yang diusahakan bersesuaian dengan janji-janji yang diberikan sebelum individu berkenaan dilantik untuk menganggotai barisan kepimpinan negara.

Ini bermakna para pemimpin yang dilantik menerajui NKRA yang juga menteri Kabinet perlu sedar mereka tidak boleh gagal dan mesti bersungguh-sungguh melaksanakannya bagi mencapai KPI yang disasarkan.

Tambahan pula, kerajaan sebelum ini telah menyatakan ketekalannya dalam melakukan pengurusan berteraskan pencapaian menggunakan kaedah NKRA dan pengukuran KPI yang disediakan dengan teliti dalam tempoh mencukupi.

Dengan setiap teras bidang dinyatakan KPI dengan sasaran khusus supaya dapat diukur, kita mengharapkan kayu pengukur yang disediakan itu tidak pula dipersalah sebagai ganti alasan terhadap ketidakmampuan pemimpin yang dilantik menjadi penerajunya.

Perdana Menteri yang bertanggungjawab kepada keseluruhan matlamat NKRA dan pencapaian KPI perlu tegas supaya tindakannya dapat meyakini dan memenangi hati rakyat.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90