Perbankan EASY by RHB


RHB Bank Bhd. (RHB) menyasarkan pembukaan sekurang-kurangnya 60 konsep perbankan baru yang dinamakan EASY by RHB di seluruh negara menjelang akhir tahun ini.

EASY by RHB menawarkan perbankan tanpa kertas dan perkhidmatan kelulusan segera untuk pinjaman peribadi, kad debit, pembiayaan Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan pelan insurans kemalangan diri.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Tajuddin Atan berkata, konsep perbankan baru ini menjadi batu loncatan kepada RHB untuk muncul sebagai antara penyedia perkhidmatan kewangan bersepadu, mudah dan ringkas kepada para pelanggannya.

"Sekurang-kurangnya 60 EASY by RHB akan ditubuhkan di seluruh negara sama ada dilakukan secara berkongsi seperti di pasar raya besar atau dibangunkan sendiri oleh RHB di kawasan tumpuan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran konsep perbankan terbaru itu yang dilakukan oleh Pengerusi RHB Tan Sri Azlan Zainol di sini hari ini.

Tajuddin berkata, penubuhan EASY by RHB itu bukan bertujuan menggantikan cawangan perbankan konvensional sedia ada tetapi disasarkan untuk para pelanggan yang inginkan kemudahan, kesegeraan, kepantasan dan ringkas.

Ketika ini perkhidmatan itu ditempatkan di kawasan-kawasan tumpuan orang ramai khususnya di kawasan-kawasan perumahan, tambah beliau.

Beliau berkata, pelaburan untuk menubuhkan EASY by RHB itu melibatkan jumlah yang kecil dan memerlukan sedikit masa dan kajian terhadap maklum balas pelanggan terhadap kemudahan itu.

"Kita tidak menjangkakan lonjakan drastik terhadap penguasaan pasaran RHB ketika ini selepas menubuhkan EASY by RHB namun ia dilihat mampu memberi sumbangan bermakna selepas beberapa tempoh masa," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url