RM10,000 jika dapat tangkap ikan naga di Tasik Kenyir
Kerajaan Terengganu menawarkan ganjaran RM10,000 kepada pemancing yang berjaya menangkap ikan naga atau nama saintifiknya, Arapaima Gigas yang dipercayai hidup di Tasik Kenyir.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, tawaran itu dibuat kerana kerajaan negeri khuatir kehadiran ikan naga akan menyebabkan spesies ikan kecil lain di Tasik Kenyir pupus.
''Ikan naga merupakan spesies ikan besar dikatakan berasal dari Sungai Amazon dan menjadikan ikan lain di dalam tasik sebagai makanan.
''Adalah dikhuatiri ikan ini akan membiak di Tasik Kenyir yang dibangunkan sebagai destinasi pelancongan utama di Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Madziah Mohd. Lada iaitu balu kepada Allahyarham Aladi Hassan, anggota bomba yang mati lemas semasa operasi mencari dan menyelamat di Tasik Kenyir baru-baru ini, di kuarters guru Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Buluh di sini hari ini.
Ahmad berharap Arapaima Gigas itu dapat ditangkap hidup-hidup kerana kerajaan negeri bercadang menghantarnya ke Mini Zoo dan Taman Rekreasi di Bukit Takal, Kemaman.
Beliau memberitahu, walaupun Arapaima Gigas merupakan spesies ikan yang besar, tetapi ia tidak menyerang manusia.
Katanya, ikan Arapaima Gigas hanya menjadikan ikan- ikan lain di dalam tasik sebagai makanan.
''Arapaima Gigas boleh membesar sehingga 4.5 meter panjang dan mencapai berat sehingga melebihi 200 kilogram,'' katanya.
Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri tidak mengetahui berapa jumlah sebenar ikan itu di dalam Tasik Kenyir.
''Ikan toman juga adalah pemangsa tetapi ia tidak akan membesar seperti Arapaima Gigas," katanya lagi.
Mengenai prosedur tangkapan Arapaima Gigas, Ahmad memberitahu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) melalui penguatkuasa Kenyir Rangers akan memantau usaha menangkap ikan tersebut.
Jelasnya, kaedah menangkap Arapaima Gigas terhad kepada penggunaan joran serta kekili dan setiap peserta mesti mengambil permit serta mematuhi peraturan yang ditetapkan.
''Segala urusan memancing termasuk menyewa bot adalah di bawah tanggungan sendiri dan setiap peserta diwajibkan mendaftar dengan Ketengah bagi tujuan keselamatan," katanya.
- UTUSAN
Salaam. Semoga anda terus dirahmati, diampuni dan dipelihara ALLAH dalam ketaatan kepada-Nya sepanjang hayat. Semoga sejahtera dunia dan akhirat. Dunia hanya persinggahan, persiapkan diri untuk akhirat yang kekal tiada penghujung. (^_^)