Selangor menjulang Piala Liga Super 2009


Habuan lumayan bakal menanti juara baru Liga Super, Selangor selepas melengkapkan kempen 2009 dengan membelasah Pahang 5-1 pada perlawanan terakhir liga di Stadium Shah Alam, semalam.

Khabar gembira itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim yang bagaimanapun berkata, jumlah habuan yang bakal dinikmati pemain-pemain Merah Kuning itu hanya akan diumumkan pada 31 Julai ini.

Kemenangan besar ke atas Pahang melengkapkan musim cemerlang skuad bimbingan K. Devan yang mengharungi 26 perlawanan dengan mencatat 20 kemenangan, tiga seri dan tiga kalah.

Malah, bertambah manis lagi buat Selangor apabila kaptennya, Amri Yahyah pula diumumkan sebagai Pemain Terbaik perlawanan semalam.

Selangor menjulang trofi yang tidak pernah dimenangi sejurus tamat perlawanan yang disampaikan oleh Khalid.

Hadir sama Timbalan Presiden FAM, Datuk Ridzuan Tan Sri Sheikh Ahmad dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad.

Sebaliknya, keputusan itu menyebabkan Pahang tersingkir ke Liga Perdana musim depan apabila menamatkan saingan di tempat kedua tercorot dengan 17 mata.

Bagaimanapun, nasib skuad bimbingan Dollah Salleh itu dan pasukan tercorot, Polis bergantung pada struktur baru liga musim depan yang akan dibincangan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) minggu depan.

Amri, yang masih segar dengan sejarah menjaringkan dua gol pada perlawanan dengan Manchester United minggu lalu merupakan wira Selangor dengan menjaringkan dua gol.

Begitupun, sebelum pesta gol bermula, tuan rumah dikejutkan dengan gol awal Pahang menerusi tandukan Muhammad Badrul Hisani, yang memperdayakan penjaga gol Selangor Mohd. Nasril Nourdin pada minit ke-13.

Selangor bagaimanapun hanya memerlukan empat minit kemudian untuk menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti Safee Sali selepas selepas R. Surendran dijatuhkan oleh Mohd. Rosfaizul.

Amri melebarkan kedudukan 2-1 menerusi gaya kegemarannya yang penuh helah, melambung bola melepasi penjaga gol Pahang, Mohd. Rosfaizul Azuar Ali pada minit ke-43.

Penyerang kebangsaan itu membuktikan dia adalah pemain paling bernilai ketika ini apabila menyumbat gol peribadi kedua pada minit ke-64.

Safee turut menjaringkan gol keduanya pada minit ke-68 untuk kedudukan 4-1, sebelum Surendran pula menutup pesta gol Selangor menerusi jaringan kelima pada minit ke-69.

- UTUSAN

Share this:

ADMIN

Blogger Infokerjaya

0 Comments:

Catat Komen

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.