Tabung RM1, 1Malaysia dilancar

Kementerian Pertahanan hari ini menjadi kementerian pertama yang melancarkan program kutipan dana RM1, 1Malaysia, membabitkan seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu mengisi tabung Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan.

Kempen kutipan dana itu akan dilaksanakan melalui dua fasa iaitu di peringkat agensi-agensi di bawah Kementerian Pertahanan sebelum diperluaskan ke peringkat formasi-formasi yang membabitkan semua anggota tentera.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha yang dilakukan oleh kementerian tersebut bertujuan mendidik masyarakat supaya prihatin.

''Kita mendahului kementerian lain dalam isu kebajikan bekas atlet kebangsaan ini kerana majoriti atlet tersebut adalah bekas anggota ATM.

''Kita tidak mahu mereka hanya disanjung semasa di puncak karier tetapi selepas bersara, keringat mereka yang pernah bergelar jaguh negara dilupakan tanpa bantuan yang sewajarnya,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pengerusi Eksekutif Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Paduka Dr. Mumtaz Jaafar, bagi melancarkan tabung RM1, 1Malaysia peringkat kementerian itu di Wisma Kementerian Pertahanan (Kementah) di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut memberi sumbangan peribadi untuk tabung itu sebelum diikuti oleh Timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad dan pegawai-pegawai tertinggi ATM yang lain.

Dalam pada itu, Mumtaz mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pertahanan kerana menyokong yayasan tersebut menjaga kebajikan bekas atlet kebangsaan.

Jelasnya, kini terdapat kira-kira 500 bekas atlet kebangsaan yang berdaftar dengan Yakeb dan majoritinya merupakan bekas tentera.

''Sokongan daripada Kementerian Pertahanan diharap akan menjadi ikutan kementerian lain selepas ini kerana RM1 bukanlah satu jumlah yang membebankan.

''Dengan sumbangan RM1 daripada setiap rakyat, bekas atlet sedar bahawa keringat yang pernah dicurahkan mereka demi mengharumkan nama negara dihargai,'' katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url