Umat Islam ditegah bakar lilin ingati individu - JAIS

Umat Islam ditegah mengikuti amalan orang bukan Islam dalam apa jua majlis termasuk pembakaran lilin bagi memperingati seseorang individu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Muhammed Khusrin Munawi berkata, tindakan sedemikian jelas bercanggah dengan hukum prinsip asas agama Islam.

Katanya, tindakan membakar lilin untuk memperingati sesuatu merupakan amalan lazim masyarakat beragama Kristian sama ada di barat mahu pun di negara ini.

''Kalau kita hendak mengingati seseorang, banyak cara kita boleh lakukan bukannya dengan membakar lilin, tidak perlu kita tiru mereka," katanya.

Beliau diminta mengulas tindakan segelintir umat Islam di negara ini yang mengamalkan budaya membakar lilin sebagai tanda mengingati sesuatu peristiwa mahu pun individu tertentu.

Malah amalan tersebut turut dilakukan oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang turut membakar lilin bagi memperingati kematian Setiausaha Politik seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock Jumaat lalu.

Bagaimanapun, tindakan Mohammad Nizar itu dikritik hebat oleh pemimpin tertinggi Pas apabila Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Harun Taib menyifatkan ia amat 'meragukan'.

Menurut Harun, Mohammad Nizar sepatutnya tidak hadir pada majlis tersebut kerana sifatnya yang meragukan itu.

Jelasnya, Rasulullah SAW sendiri amat menitikberatkan perkara berkenaan seperti ''sabdanya yang bermaksud tinggalkan perkara yang engkau ragu dan ambillah perkara yang engkau tidak ragu''.

Muhammed Khusrin menambah, dalam Islam sendiri, banyak cara yang telah dinyatakan di dalam al-Quran dan hadis Rasulullah SAW bagi mengingati seseorang sama ada yang masih hidup atau meninggal dunia.

''Sebagai contoh, jika individu yang kita ingati itu seorang Islam, kita boleh sedekah Al-Fatihah dan berdoa untuknya. Jika individu tersebut bukan Islam, kita boleh ziarah mereka," ujarnya.

Beliau turut menegur sikap para pemimpin politik yang beragama Islam supaya tidak membelakangkan ajaran Islam semata-mata mahu meraih sokongan politik daripada golongan bukan Islam.

Katanya, sikap tersebut tidak seharusnya wujud kerana sebagai pemimpin Islam, mereka sepatutnya menegakkan ajaran agama itu termasuk mengikuti hadis Rasulullah SAW dalam kepimpinan mereka.

''Kalau hendak berpolitik pun, kena tengok tempat dan tingkah laku, jangan sampai mengikut cara atau amalan yang bercanggah prinsip dan hukum Islam," ujarnya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url