UMNO sambut baik langkah Nik Aziz
"Kita menyambut baik apa yang dikatakan oleh Nik Aziz kerana selama ini halangan untuk PAS bincang dengan Umno adalah Nik Aziz.. jadi apabila beliau (Nik Aziz) telah menghulurkan salam, maka kita kena sambut baik dan pintu rundingan sentiasa terbuka.
"Saya yakin Presiden dan Timbalan Presiden Umno masih lagi membuka minda untuk kita duduk berbincang mengenai perpaduan cuma bentuknya itu kita tidak tahu kerana ia melibatkan pimpinan tertinggi.
"Tidak pernah dalam sejarah perpaduan itu merugikan dan tidak pernah dalam sejarah perpecahan itu menguntungkan," kata beliau selepas merasmikan Persidangan Pemuda Umno Bahagian Selayang di Selayang hari ini.
Semalam, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata beliau bersedia menghulurkan tangan untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri di bawah PAS dengan kerajaan pusat dalam usaha menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.
Pada majlis, Ahmad turut mengumumkan Program Inisiatif Tawan Selangor (PINTAS) untuk menawan kembali Selangor yang jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum ke-12.
Menurutnya, langkah tersebut perlu dimulakan dari sekarang kerana Selangor merupakan sebuah negeri penting dan memiliki sumber kekayaan yang banyak berbanding negeri-negeri lain.
Dalam pada itu, Bendahari Umno, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah mahu kenyataan Nik Aziz itu dianggap sebagai suara parti, bukan individu.
Menteri Kewangan kedua itu berkata, sebelum ini Nik Aziz secara terang-terangan menolak cadangan penubuhan kerajaan perpaduan yang dicetuskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di muktamar parti itu baru-baru ini.
Nik Aziz juga, katanya, sebelum ini memberikan kritikan pedas terhadap Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa, berikutan sokongannya terhadap idea kerajaan perpaduan.
Enggan pisang berbuah dua kali, Husni berkata, kenyataan itu seharusnya dinyatakan sebagai pendirian dan keputusan daripada parti bagi mengelak ia disalahgunakan untuk kepentingan politik dan individu semata-mata. "Bila betul dia (Nik Aziz) kata nak bersama Umno demi perpaduan ummah, dia kena bagi pendirian sebagai parti", kata beliau dipetik oleh Bernama selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita Umno Bahagian Kepong di Pusat Dagangan Dunia Putra.
Sementara itu, Ketua Pergerakan Wanita Umno, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meminta Nik Aziz supaya tidak memutarbelitkan kenyataannya itu bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan anggota PAS.
Justeru, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu meminta Nik Aziz supaya tidak mengubah pendiriannya, meskipun mendapat desakan daripada mana-mana pihak.
- MSTAR