Youthciti portal tempatan khusus remaja


Kini banyak portal rangkaian sosial daripada luar negara yang menjadi kegilaan penduduk di seluruh dunia seperti Facebook.

Bagaimanapun, usaha sekumpulan mahasiswa Universiti Utara Malaysia daripada Student in Free Enterprise (SIFE) - satu pertubuhan bukan kerajaan yang tidak berorientasikan keuntungan membina portal rangkaian sosial dalam talian memang menarik.

Ketua Eksekutif JARING Communications, Dr. Mohamed Awang Lah berkata, portal www.youthciti.com direka khas bagi menyediakan platform remaja sebelum ke dunia luar yang lebih mencabar.

"Pihak JARING memainkan dua peranan penting dalam membantu membangunkan portal youthciti dengan membantu mengembangkan program itu ke seluruh dunia.

"JARING mempunyai pusat data dengan lebar jalur bagi membantu youthciti berkembang dan popular seperti portal rangkaian sosial lain," katanya semasa majlis pelancaran youthciti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Mohamed menambah, satu lagi peranan JARING adalah memastikan trafik IT dari dalam dan luar negara dapat diseimbangkan.

Sekarang banyak kandungan daripada laman rangkaian sosial luar negara mungkin dihantar dari negara ini tetapi rakyat akan memuat turun daripada pelayan yang terdapat di luar negara.

Ini merupakan kali kedua JARING menjalinkan kerjasama dengan UUM.

Pengarah Urusan MyPath, Jenna Loh berkata, portal youthciti dibina khusus untuk pelajar universiti sebagai satu 'jambatan' sebelum memasuki alam pekerjaan.

Menggunakan tagline learn, share and connect, portal youthciti bagi memudahkan pelajar memasuki pasaran kerja.

MyPath merupakan Hub Pembangunan Kerjaya yang berurusan dengan belia, syarikat dan dunia akademik bagi mencari bakat, membangunkan potensi, memadankan bakat yang sesuai dan menghubungkan belia dengan komuniti kerjaya.

Manakala Presiden SIFE UUM, Lee Wai Yan berkata, SIFE mula dilancarkan pada 4 Mac tahun ini dan menjalinkan kerjasama dengan MyPath dan JARING bagi membangunkan portal youthciti.

"Portal ini diharap dalam memikat golongan pelajar kerana ia merupakan platform atas talian bagi mereka bertukar idea, menjengah peluang pekerjaan, membina perniagaan sendiri dan berbual dengan sahabat daripada pelbagai IPT," katanya.

Beliau menambah youthciti hasil idea pelajar, mendapatkan kandungan daripada pelajar sendiri untuk pelajar itu sendiri.

"Dalam masa enam bulan kami mensasarkan 5,000 orang ahli dari seluruh negara dan keahlian terbuka kepada mahasiswa di seluruh dunia.

"Kami akan terus memberikan yang terbaik kepada mahasiswa yang melayari youthciti," katanya.

Pelajar yang menjadi ahli portal berkenaan secara percuma boleh mendapatkan pelbagai maklumat di MyVideo, MyBlog, MyCareer, MyChallenge, My Community, MyForum, MyEvent, MyBiz.

Selain itu youthciti juga memberikan kemudahan ruang bual siber serta enjin pencarian google.

Bagi meninjau youthciti, pelajar boleh melayari laman web www.youthciti.com
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url