Litrak jamin jambatan di LDP selamat
Orang ramai tidak perlu risau dengan tahap keselamatan jambatan di persimpangan Lebuh Raya Damansara Puchong (LDP) dekat Puchong Jaya, di sini, kerana syarikat konsesi LDP, Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) memberi jaminan bahawa ia selamat untuk laluan kenderaan.
Ia sekali gus menafikan laporan seorang penulis blog yang mendakwa jambatan berkenaan mempunyai retakan yang membahayakan orang ramai baru-baru ini.
Ketua Jabatan Komunikasi Litrak, Bhavani Krishna Iyer, berkata Litrak sudah mengetahui mengenai retakan halus yang berlaku pada struktur jambatan berkenaan sejak awal tahun ini dan tindakan pembaikan sudah diambil bagi memulihkan kesan retakan itu.
“Pihak perunding yang melakukan pemeriksaan tahunan terhadap jambatan itu sebelum ini memaklumkan Litrak bahawa ia hanya retakan biasa atau shrinkage crack yang boleh berlaku disebabkan faktor perubahan suhu dan tidak akan menimbulkan sebarang masalah keselamatan,” katanya.
- BERITA HARIAN