Bakal pengantin rebut hadiah pakej perkahwinan MEGA-Utusan

Bakal pengantin dipelawa menyertai peraduan Gerbang Cinta MEGA-Utusan yang menawarkan pakej perkahwinan dan pelbagai hadiah bernilai RM300,000 untuk 10 pasangan bertuah yang terpilih.

Pemenang pertama peraduan anjuran akhbar Utusan Malaysia itu akan menerima tajaan pakej perkahwinan bernilai RM150,000, kedua RM55,000 dan pemenang ketiga memperoleh pakej RM30,000.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang melancarkan program itu hari ini mengalu-alukan usaha Kumpulan Utusan mempelbagaikan aktiviti dan program bagi mendekati rakyat dan pembaca yang terdiri daripada pelbagai golongan dan masyarakat.

Katanya, penganjuran peraduan Gerbang Cinta MEGA-Utusan itu selain memberi peluang kepada pembaca Utusan Malaysia memenangi hadiah menarik, ia turut membantu golongan tertentu meraikan majlis perkahwinan dengan lebih meriah.

''Harapan saya agar Kumpulan Utusan dapat mengembangkan skop program ini dengan membantu golongan muda melengkapkan diri dari segi mental dan fizikal sebelum memasuki alam perkahwinan,'' katanya.

Noorainee berkata, ia boleh dilakukan dengan menganjurkan bengkel perkahwinan dan kem motivasi yang boleh membantu mereka menjalani hidup secara positif, berdaya tahan dan berdaya saing menghadapi cabaran selepas berumah tangga.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran peraduan anjuran Mega, sisipan Utusan Malaysia bersama 10 syarikat penaja pakej perkahwinan di Dewan Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang, Selangor.

Untuk program Gerbang Cinta MEGA-Utusan, 10 syarikat penaja yang terlibat ialah Orked Art and Decoration, Mastar Catering, SyokKahwin.com, MAEPS Management Sdn. Bhd., Kampung Pengantin Kuala Lumpur, Picture Elements, Jurusolek Afidah Khamis, T&T Boutique, Rumah Acara dan QM Worldwide Holidays.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Mohd. Nasir Ali; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif MAEPS, Datuk Mohd. Arif Othman.

Noorainee berkata, penganjuran program-program mendekati masyarakat boleh membantu remaja mendapatkan panduan dan idea lebih bernas untuk menyertai pelbagai program positif dan mengelakkan mereka terlibat dengan gejala kurang sihat.

Sehubungan itu, katanya, pihak media seperti Kumpulan Utusan dapat memainkan peranan secara tidak langsung untuk membantu kerajaan menangani masalah peningkatan gejala sosial dalam masyarakat.

''Selain penyertaan program, penyiaran artikel-artikel bersifat mendidik dan ilmiah dalam akhbar juga dapat memberi aspirasi kepada pembaca mengamalkan gaya hidup sihat dan ceria,'' tambahnya.

Sementara itu, Aziz berkata, syarat-syarat penyertaan peraduan Gerbang Cinta MEGA-Utusan itu agak mudah iaitu pembaca hanya perlu mengumpul 50 kepala akhbar (masthead) Utusan Malaysia sepanjang peraduan berlangsung iaitu mulai hari ini hingga 20 Oktober.

Hadiah-hadiah perkahwinan untuk tiga tempat pertama meliputi tajaan sajian makanan, dewan perkahwinan, busana pengantin, dekorasi pelamin, dewan dan meja pengantin, solekan, kad jemputan, fotografi dan sebagainya.

Katanya, selain daripada tiga hadiah utama, tujuh peserta juga akan mendapat hadiah saguhati barangan bernilai RM4,000 setiap satu.

''Matlamat peraduan ini ialah memupuk semangat berkasih sayang sesama manusia dan merealisasikan hajat pasangan yang ingin mendirikan rumah tangga seberapa segera.

''Ramai pasangan terpaksa melewatkan hajat mendirikan rumah tangga kerana kos upacara perkahwinan yang terlalu tinggi dan peraduan ini memberi peluang kepada mereka merealisasikan impian yang tertangguh itu,'' katanya.

Aziz berkata, selain peraduan itu, MEGA turut menganjurkan pelbagai aktiviti dan program bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan berjaya dengan menggunakan kaedah dan teknologi terkini.

Katanya, program-program itu seperti bengkel ternakan keli, kambing, penanaman cendawan, membuat kek, kuih raya, jahitan manik dan yang terkini ialah kursus memborong barangan dari China.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url