Serah kepada rakyat menilai dalang perhimpunan haram

Oleh SHARUDIN ABDULLAH
Bandar Baru Bangi, Selangor

Nafsu besar Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dengan kerjasama kuat parti-parti pakatan pembangkang khususnya Pas untuk menghimpun 100,000 rakyat dalam demonstrasi membantah ISA baru-baru ini, nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Namun demikian, meskipun tidak seramai yang dihasratkan, impak daripadanya cukup besar. Jalan-jalan raya di sekitar Lembah Klang huru-hara dengan kesesakan yang luar biasa.

Kedai-kedai terpaksa ditutup dan para peniaga kerugian puluhan juta ringgit. Pelancong asing tertanya-tanya akan kebenaran keharmonian negara kita. Rakyat tidak dapat 'merehatkan' diri dengan sempurna pada hari cuti am.

Anggota keselamatan dan orang awam terdedah dengan bahaya yang tidak diduga. Dunia luar terutamanya rakan dagang serta para pelabur dihantui kebimbangan. Dan pelbagai cerita duka lagi tercetus akibat daripada peristiwa tersebut.

Kita berharap dalang perhimpunan haram itu telah pun berpuas hati dengan tindak-tanduk yang mereka cetuskan itu. Mereka boleh tidur lena dan seronok menyaksikan semua ini bersama kroni-kroni mereka.

Selepas ini apa lagi? Terserah kepada anda untuk mentafsirkannya. Yang pasti, budaya berdemonstrasi ini tetap akan berlaku selagi negara masih memiliki 'kaki kacau Malaysia' (meminjam ungkapan Pak Habib dalam blognya) yang masih memiliki sisa-sisa nafsu untuk memerintah negara ini, biarpun sehingga "menang jadi arang, kalah jadi abu".

Dalam hati mereka yang berkenaan sekarang tertanam satu niat - jatuhkan kerajaan yang sah ini - dan selepas itu, apa nak jadi pun mereka tidak peduli!

Wahai pemimpin-pemimpin rakus, ingatlah, tindak-tanduk anda tidak dipersetujui oleh rakyat. Majoritinya membantah, tetapi mereka tidak boleh tunjuk sekarang.

Tunggulah pilihan raya umum ke-13 nanti, kerana segala tindak-tanduk yang anda paparkan kini dinilai indeks petunjuk utamanya oleh rakyat majoriti.

Kepada pemerintah hari ini, bersabarlah. Jangan terlalu panik. Rakyat bukan bodoh, mereka tahu menilai semuanya itu. Mereka yang berkenaan akan terjerat akhirnya dalam situasi yang mereka sendiri wujudkan.

Setakat ini, kerajaan terutama sejak di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak telah berjaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cemerlang sekali. Jadi, teruskan sahaja apa yang sudah dirancang. Rakyat mahukan pembangunan bukan perbalahan yang berpanjangan.

Sebagai pemerhati, saya fikir tidak perlulah kerajaan sibuk-sibuk hendak berbuat baik dengan pembangkang yang penuh dengan strategi serta tipu muslihat itu. Biarlah mereka dengan cara mereka.

Jangan lupa, Barisan Nasional adalah pemerintah Malaysia pada ketika ini. Bukan pembangkang! Jadi, apalah yang hendak dikalutkan sangat.

Sebenarnya masa dan ketika akan menentukan nasib mereka. Lihatlah apa yang berlaku hari ini, macam-macam kekalutan terjadi dalam pemerintahan pakatan pembangkang.

Itu baru pegang tiga empat buah negeri, belum sebuah negara! Bayangkanlah wahai anak-anak Malaysia, bagaimana sekiranya anda tersilap undi lagi.

Apa yang saya dan rakyat terbanyak harapkan ialah pemimpin-pemimpin serta penggerak-penggerak demonstrasi haram sedar bahawa mereka tidak boleh selamanya menganggap diri besar dan kebal kerana disokong oleh badan bukan kerajaan (NGO) dari luar negara dan sebagainya.

Kami juga punya hak dalam negara ini. Jangan nanti ada rakyat yang akan menyaman anda semua kerana ketenteraman mereka diganggu-gugat. Jadilah pemimpin yang disegani bukan ditakuti.
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url