SEZ ubah landskap kelembapan FDI

Zon Ekonomi Khas (SEZ) pertama Malaysia dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak 4 Ogos lalu, meningkatkan 'pertaruhan' pelaburan asing ke negara ini.

Ia melonjakkan Malaysia secara agresif untuk menarik pelaburan ketika ketidaktentuan ekonomi global.

"Berdasarkan trend semasa dengan kadar pengangguran yang meningkat seperti di Amerika Syarikat 8.1 peratus, di Asia dijangkakan 7.2 juta penganggur baru atau 5.1 peratus dan di Malaysia kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus tahun ini berbanding dengan 3.7 peratus pada tahun lalu, maka SEZ-ECER dilihat jalan terbaik untuk membantu rakyat selaras dengan slogan rakyat didahulukan," kata Mohammad Ismail.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara Perlis itu berpendapat, penyelesaian jangka panjang di SEZ itu bukan sekadar mampu menyediakan 220,000 peluang pekerjaan menjelang 2020, malah mampu mengatasi kadar pemberhentian pekerja terutamanya sektor perkilangan dengan terbinanya industri pembuatan bernilai tinggi, industri asas tani, gas dan petrokimia, pelancongan dan hartanah; pendidikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta logistik di kawasan itu.

Daripada aspek ekonomi pula kata Mohammad, Pelaburan Terus Asing (FDI) merupakan komponen utama dalam pembangunan strategi ekonomi kebanyakan negara di dunia.

Jadi, dengan hanya sejumlah RM4.2 bilion pelaburan asing yang diluluskan untuk lima bulan pertama tahun ini, SEZ-ECER merupakan formula terbaik yang mampu menarik RM90 bilion pelaburan di samping insentif galakan istimewa yang akan diberi kepada pelabur asing dan domestik.

Langkah pelancaran SEZ ini sekurangkurangnya dapat mengatasi kelembapan FDI.

"Pelaburan asing merupakan ramuan utama untuk menjana ekonomi negara yang dijangka menyumbang kepada 80 peratus hasil keluaran ekonomi keseluruhan ECER.

"Peranan pelaburan sangat relevan kerana akan memberi kesan kepada peningkatan peluang pekerjaan, produktiviti, pemindahan kemahiran dan teknologi, meningkatkan kadar eksport dan paling penting menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara untuk jangka masa yang panjang," jelas Mohammad.

Pada hakikatnya ketidaktentuan ekonomi global memberi kesan kepada ekonomi negara ini. Malaysia tidak boleh sekadar duduk di pinggiran dan menunggu pelabur datang.

Persaingan menarik pelaburan semakin sengit. Jadi SEZ adalah satu tindak balas strategik dan proaktif ke arah meningkatkan daya saing wilayah ini.

SEZ nampaknya sehaluan dengan langkah-langkah liberalisasi ekonomi negara baru-baru ini bagi meletakkan negara lebih berdaya saing mendapatkan bahagian kek FDI.

Sejak era globalisasi melanda dunia, satu halangan terhadap kemasukan pelaburan ke Malaysia ialah tanggapan banyak pelabur mendakwa negara kita bukan destinasi pelaburan menarik kerana wujud sekatan dari segi ekuiti.

Sebab itu baru-baru ini kerajaan pimpinan Najib mengambil tindakan berani dengan memansuhkan syarat mewajibkan pemilikan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti bumiputera bagi Tawaran Awal Permulaan (IPO) dan penghapusan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) bagi pemerolehan saham, penggabungan dan pengambilalihan.

Inisiatif ini membolehkan negara terus bersaing bagi mendapatkan modal asing yang semakin sukar dan melonjakkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Selaras dengan Model Baru Ekonomi yang dirangka kerajaan untuk menjana pendapatan lebih tinggi kepada rakyat dan membantu mereka menangani cabaran ekonomi akan datang, SEZ dirangka dengan menekankan pertumbuhan ekonomi berlandaskan ilmu pengetahuan, sektor perkhidmatan dan teknologi tinggi.

Pembangunan SEZ akan disokong dengan peningkatan taraf kemudahan infrastruktur dan pengangkutan.

Dengan matlamat utama menjadikan wilayah Pantai Timur maju menjelang 2020, misi ECER untuk membangunkan dan mengimbangkan pembangunan dengan Pantai Barat dijangka akan meletakkan wilayah ekonomi ini menjadi dinamik, destinasi pilihan bagi pelaburan dan pekerjaan serta wilayah yang mempunyai kualiti kehidupan yang lebih baik.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url