Top Ad 728x90

,

H1N1: Penumpang bas diwajib dedah status kesihatan

Bagi mengelakkan penumpang bas ekspres terdedah kepada risiko jangkitan Influenza A (H1N1), pengusaha bas diwajibkan
membuat pengumuman meminta semua penumpang isytiharkan tahap kesihatan mereka sebelum memulakan perjalanan.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Mohamad Ali berkata, arahan tersebut bagi membolehkan pengusaha bas mengenal pasti penumpang yang mempunyai simptom H1N1 supaya dapat diasingkan kedudukan mereka daripada penumpang-penumpang lain serta diberikan penutup hidung dan mulut.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, bagi penumpang yang disahkan menghidapi H1N1, mereka tidak akan dibenarkan turut serta dalam perjalanan tersebut.

Arahan itu selari dengan hasrat kerajaan yang mahu penglibatan semua pihak dalam menangani merebak virus H1N1 yang kini telah mengorbankan 71 orang.

Mohamad Ashfar berkata, sempena sambutan Hari Raya yang bakal tiba, PMBOA berpendapat arahan itu juga mampu mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap risiko kesihatan mereka ketika menggunakan perkhidmatan bas ekspress untuk pulang berhari raya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan pandemik tersebut menghantui penumpang, persatuan juga mengarahkan semua tandas di stesen-stesen bas dijaga tahap kebersihannya selain perlu menyediakan tisu dengan secukupnya.

Katanya, pemilik bas juga diwajibkan membersihkan bahagian-bahagian utama di dalam bas yang sering dipegang penumpang seperti besi pemegang pintu, handle untuk mengubah kedudukan kerusi, pintu dan cermin dicuci dengan bahan nyahkuman bagi menghalang virus daripada melekat dan merebak kepada penumpang lain.

Mohamad Ashfar berkata, bagi memastikan udara yang sihat dan menghalang virus daripada membiak, pihaknya juga mengarahkan pemilik bas supaya sentiasa memastikan sistem pendingin hawa di dalam bas diselenggara mengikut jadual.

"Mereka (pengusaha bas ekspres) perlu pastikan aircond sentiasa diselenggara supaya pengaliran udara yang sihat dan bebas daripada kekotoran," katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90