Zakat hanya untuk bantu umat Islam

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah melarang wang kutipan zakat diambil, dipinjam atau disalurkan untuk tujuan lain selain membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri itu.

Baginda juga mengingatkan pihak tidak berkaitan atau pihak luar daripada pentadbiran Lembaga Zakat Selangor (LZS) tidak campur tangan dalam pengurusan zakat negeri itu.

"Beta tegaskan segala kutipan zakat di Selangor hanya boleh digunakan untuk membantu umat Islam dan pembangunan ummah di negeri ini.

"Beta sekali-kali tidak perkenan wang zakat diambil, dipinjam atau disalurkan untuk perkara lain. Beta tidak berkenan mereka yang luar dari pentadbiran Lembaga Zakat Selangor campur tangan dalam pengurusan zakat negeri ini," titah baginda ketika merasmikan Konvensyen Integriti Pengurusan Zakat Selangor di sini semalam.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pemegang Amanah LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail.

Sebelum ini, kerajaan Selangor mencadangkan sebahagian wang kutipan zakat digunakan untuk membangunkan negeri itu kerana mendakwa Kerajaan Pusat enggan mengagihkan peruntukan kepada negeri yang dikuasai pembangkang.

Sultan Sharafuddin Idris Shah sehubungan itu berharap Jabatan Mufti, Selangor, Mais, LZS dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berganding bahu memastikan pengurusan zakat dilaksanakan dengan baik bagi memastikan umat Islam mendapat manfaat.

Baginda juga mahu jumlah kutipan zakat dan bagaimana wang itu dibelanjakan setiap tahun disebarkan kepada rakyat menerusi akhbar atau media lain.

"Pengurusan zakat hendaklah dilakukan dengan betul dan jangan ada penyelewengan dalam pengurusan, kutipan dan pembahagian. Beta percaya jika mereka yang diberi tanggung jawab melakukan penyelewengan maka akan menerima balasan Allah.

"Beta sangat mengambil berat dan mengikuti pengurusan zakat Selangor kerana zakat dibayar umat Islam bagi menunaikan satu daripada Rukun Islam," titah baginda.

Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah pihak yang menguruskan kutipan zakat adalah mereka yang diberi kepercayaan dan perlu menyerahkan semua kutipan kepada LZS untuk diuruskan dengan sempurna.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url