Beri nafas baru penyampaian khutbah
Dalam satu khutbah Aidilfitri yang disampaikan baru-baru ini, ternyata ia begitu berkesan sebagai kaedah dakwah yang sangat efektif. Semua ahli jemaah terpesona dengan nasihat dan pengajaran yang disampaikan. Intonasi suara dan gaya penyampaian khatib begitu memberangsangkan.
Anak-anak muda juga mula memikirkan tentang hala tuju kehidupan mereka selepas mendengar hadis-hadis Nabi SAW dan ayat-ayat al-Quran yang diketengahkannya.
Bayangkanlah jika semua masjid di Malaysia dapat menampilkan khatib yang sebaik ini, nescaya mesej Islam dapat disampaikan kepada masyarakat dengan pengisian yang berkualiti.
Malangnya pada hari ini, kita melihat institusi mimbar kaku, tidak dapat berfungsi dengan sebaik-baiknya.
Bukan senang untuk mendapatkan kehadiran jemaah yang ramai dalam satu-satu masa seperti mana kehadiran mereka di dalam solat hari raya atau solat Jumaat.
Institusi mimbar seharusnya diperkemaskan dan ditambah baik. Pihak berwajib dan bertanggungjawab hendaklah memainkan peranan sewajarnya.
Amat merugikan apabila kita melihat fenomena di mana jemaah ketika mendengar khutbah Jumaat atau khutbah hari raya dalam keadaan lena, mengantuk, mengharapkan ia cepat habis dan sebagainya.
Apabila mendongak ke arah mimbar, rupanya pengisian dan penyampaian khatib amat mengecewakan, seperti melepaskan batuk di tangga.
Pengisian berkualiti adalah pengisian yang semasa, menyentuh isu-isu dan permasalahan masyarakat setempat, mengkaitkan dengan nas-nas al-Quran dan hadis yang tepat.
Penyampaian yang bertenaga pula hendaklah punya intonasi yang dapat menusuk ke dalam jiwa pendengar.
Bacaan nas-nas al-Quran dan hadis yang fasih, berkeyakinan. Penyampaian yang mengambil kira reaksi pendengar ketika itu.
Penyampaian secara ilqa'iy (terus tanpa terikat dengan teks) amat istimewa jika dapat disempurnakan dengan sebaik-baiknya, nescaya akan terpesona para pendengar.
Khutbah tidak perlu panjang dan meleret, lima belas minit sudah memadai, manfaatkan masa tersebut dengan sebaik-baiknya.
Mewajibkan para khatib membaca khutbah yang diedarkan seharusnya diberikan sedikit kelonggaran untuk membolehkan para khatib mengutarakan isu-isu atau permasalahan setempat.
Para khatib pula apabila diberikan kelonggaran ini seharusnya tidak menyentuh isu-isu yang bersifat politik kepartian. Harus dibezakan antara politik dan politik kepartian.
Aspek politik, pentadbiran, pemerintahan tidak salah untuk dibicarakan tetapi jangan mengheret aspek-aspek ini ke kancah politik kepartian.
Teguran, nasihat, pengajaran, ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis Nabi SAW sampaikanlah tetapi janganlah ia bermotifkan politik kepartian.
Mudah-mudahan para khatib dan pihak yang bertanggungjawab dapat bertolak ansur demi keberkesanan dan kelangsungan institusi mimbar yang merupakan kaedah dakwah yang sangat bermakna pada hari ini.