Buku - Interaksi Nabi, sahabat mengenai hukum
Penulis: Salman Nashif Ad-Dahduh
Penerbit: Jasmin Publications
Cetakan: Pertama 2009
Harga: RM23.50
Menjadi kebiasaan apabila dihidangkan dengan menu sama membuatkan kita jemu. Begitu juga dalam sudut keilmuan, menatap subjek yang sama membuatkan pembaca cepat bosan.
Kitab dan buku berkaitan pengajian agama, khususnya membabitkan sumber perundangan dan hukum seperti hadis Nabi s.a.w, kisah sahabat dan perjalanan mereka, berapa ramai tekun menelaahnya, melainkan penuntut yang terbabit dengan subjek terbabit.
Justeru, dalam usaha menarik kembali pembaca supaya tidak meninggalkan ilmu terbabit, pelbagai kaedah digunakan penulis dan penerbit, seperti buku bertajuk Sahabat Bertanya Nabi Menjawab, setebal 401 halaman.
Walaupun pada dasarnya buku ini bertunjangkan koleksi hadis terpilih seperti kebanyakan kitab hadis lain, penampilan dan susunannya mempunyai kelainan, kerana ia turut memuatkan pertanyaan kalangan sahabat yang mencetuskan jawapan daripada Nabi s.a.w.
Hadis yang dimuatkan adalah hadis sahih sewaktu mereka berinteraksi dengan Baginda, merangkumi pelbagai lapangan kehidupan, daripada persoalan umum berkaitan Islam, seterusnya niat sehinggalah persoalan mualamat, kejadian pada masa depan dan hakikat kebenaran.
Ringkasnya, buku ini didatangkan dalam bentuk soalan dan jawapan, disusun mengikut tajuk kecil bagi memberikan kefahaman kepada lebih luas kepada pembaca budiman, antaranya membabitkan ilmu, bersuci, solat, zakat, puasa, haji dan umrah, jihad dan nikah.
Penampilan buku ini dalam bentuk susunan secara bersistem mengikut keutamaan itu sesuai untuk ditatap pembaca pelbagai peringkat usia, sekali gus dapat menarik minat untuk terus mengetahui dan mencari jawapan Baginda selanjutnya.
Walaupun gaya bahasanya agak santai, ia masih mampu memberikan panduan dan tunjuk ajar yang berkesan kepada pembaca, kerana setiap jawapan Rasulullah s.a.w disusuli huraian supaya maksud yang disampaikan jelas.
Bahkan dalam beberapa subtopik membangkitkan kesedaran dan keinsafan, seperti berkaitan tanda kiamat dan dajjal.
Dajjal yang keluar dari sebelah timur, kemudian menuju ke Semenanjung Arab untuk ke Makkah dan Madinah, namun Malaikat menghalaunya hingga ia menuju ke Palestin. Kemudian ia dimusnahkan di sebuah negeri bernama Ladda.
Rasulullah s.a.w ditanya: "Di manakah bangsa Arab berada ketika itu? Baginda bersabda: "Manusia akan lari dari Dajjal ke gunung-gunung." (Hadis diriwayat Imam Muslim dan Tirmidzi daripada Ummu Syarik r.a)