Buku - Membongkar Misteri Dajjal
Penulis: Muhammad Nurani Maarif
Penerbit: Hijjaz Records Publishing (2009)
Harga: RM37.90 (Sabah & Sarawak RM39.90)
Halaman: 279
Mungkin ramai yang masih samar-samar mengenai kisah Dajjal, malah tidak mustahil ada yang ragu-ragu.
Kelahiran buku yang mengambil masa lebih lima tahun untuk disiapkan ini sememangnya menyingkap pelbagai misteri.
Menurut penulisnya, Muhammad Nurani Maarif atau nama sebenarnya, Mohd Khalid Yahya, penghasilan buku ini sendiri menempuh pelbagai fasa.
"Ketika bahan penulisan masih dalam bentuk asas, Dajjal yang saya bayangkan tidaklah seperinci begini. Namun semakin timbul minat mendalam, semakin zahir bukti tambahan.
"Ia hadir secara sengaja dan tidak sengaja. Ketika itu, saya yakin ia satu ketentuan dan tidak mungkin satu kebetulan. Sudah pasti ia terjadi dengan keizinan-Nya. Maha Suci Allah yang menetapkan segala kebenaran. Justeru, buku ini ditulis khusus untuk pencinta kebenaran," kata penulis berpengalaman di bidang dakwah dan latihan ini.
Siapakah Dajjal sebenarnya? Adakah dia makhluk bertubuh besar, bermata satu dengan di sebelah tangannya membawa air dan di sebelah lagi membawa api?
Sejauh mana dia mampu mengadakan tipu daya dengan membawa syurga dan neraka ke dunia, berupaya menjelajah dunia dalam tempoh singkat dan mengaku dirinya tuhan manusia?
Cukup menarik kerana buku ini tidak hanya menyingkap rahsia Dajjal tetapi ia turut mengemukakan beberapa fakta tersembunyi yang mengaitkannya dengan kehadiran Dajjal.
Apakah perkaitan Dajjal dengan bongkah batu Stonehenge, patung Terracotta, binaan piramid atau kaum Mayan?
Kewujudan monumen berkenaan dikatakan sebagai tinggalan yang membuktikan kehadirannya di semua tempat itu. Malah, ada manuskrip mengenai 'lelaki misteri' hebat yang menjanjikan kemunculan semula dirinya pada akhir zaman. Siapa sebenarnya 'lelaki misteri' ini?
Apa pula kaitan fitnah Dajjal yang hadir dalam versi baru yang digerakkan perkumpulan rahsia zaman ini?
Karya pertama bukan fiksyen buah tangan penulis ini turut mengupas bagaimana Dajjal merancang konspirasi kemunculannya dalam mencetuskan Perang Dunia Ketiga serta keadaan huru-hara dunia menerusi gerakan proksinya serta pembicaraan fakta yang belum pernah ditemui sebelum ini.
Huraian asas disusun berdasarkan rujukan buku 'Malapetaka Bakal Menimpa Menjelang Akhir Zaman' karya Imam Ibnu Kathir (terbitan Darul Fajr disemak Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz) dan 'Kisah Dajjal dan Turunnya Nabi Isa Membunuhnya' karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Bani dengan hadis Dajjal yang mutawatir.
Ia turut disertakan puluhan rujukan lain untuk membuktikan misteri dunia adalah ilusi buatan Dajjal.
Buku ini mengajak pembaca berfikir sedalam-dalamnya mengenai rentetan Dajjal sejak mula hingga ke akhir zaman. Ia mungkin tidak begitu mudah untuk difahami tetapi ia nyata menyingkap minda dalam menghadapi fitnah terbesar pada akhir zaman.