Tazkirah penuhi masa rehat dengan pengisian ilmu

Majlis tazkirah kini dilaksanakan di kebanyakan masjid dan surau bagi mengisi ruang untuk berdakwah ketika solat Tarawih. Ada yang hanya mengambil masa kurang 10 minit, namun ada yang mencecah satu jam mengikut kesesuaian masjid atau jemaah di kawasan berkenaan.

Walaupun kita tidak bertemu dengan nas sahih berhubung amalan yang kini semakin membudaya, ia sesuatu yang baik bagi meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap Islam, tambahan pula ia berlanjutan selama sebulan. Namun di sebalik tazkirah yang dianjurkan, ada segelintir penceramah yang terlajak sehinggakan menjadikan majlis berkenaan forum untuk membincangkan hal yang tidak sesuai, yang akhirnya mencetuskan suasana tidak selesa di kalangan jemaah. Akibat tindakan segelintir penceramah membangkitkan isu politik dan menghentam sesetengah pihak, menyebabkan jemaah terpaksa `lari' ke masjid atau surau lain untuk mencari ketenangan ketika sunat Tarawih.

Seorang Pendakwah dan Perunding Motivasi Human-Touch Consultant Sdn Bhd, Zawawi Yusoh, berkata majlis tazkirah adalah usaha kreatif untuk menyuburkan serta memberi nilai tambah kepada amalan sunat pada Ramadan.

Katanya, mengadakan tazkirah ketika solat Tarawih mengambil kesempatan jemaah yang berkumpul dengan harapan mesej dapat menyentuh hati serta mencetus perubahan ke arah kebaikan pada masa rehat mereka.

"Selalunya tazkirah diadakan antara rakaat solat sunat Tarawih untuk memberi kerehatan kepada jemaah. Salah satu kerehatan ialah dengan ilmu kerana saya nampak kepentingan ilmu," katanya.

Beliau berkata, waktu antara solat sunat Tarawih juga memberi kelebihan untuk menyampaikan ingatan berbanding waktu lain kerana orang lain sibuk dengan urusan masing-masing.

Zawawi berkata, majlis ilmu itu perlu beradab kerana untuk mengubah orang bukan dengan cara mengutuk sebaliknya perlu menggunakan pendekatan lebih bijak seperti menggunakan kata-kata baik supaya yang diseru akan lebih dekat.

Lagipun katanya, melepaskan perasaan bukan cara untuk menarik minat orang mendengar tazkirah malah akan memberi gambaran negatif terhadap si penyampai kerana matlamat tazkirah ialah mendekatkan diri kepada Allah.

"Konsep Islam bukan menghukum tetapi mendidik. Jika orang itu salah, kita bimbing ke jalan yang betul, bukan mengutuk. Mengajak orang dekat perlu gunakan bahasa baik, barulah mereka ada hati, bukan dengan mengherdik.

"Apabila kita gunakan bahasa kotor, kita akan nampak kotor dan yang mendengar bukan bertambah dekat, tapi lagi jauh. Orang yang dekat dengan Allah, mulut dan lidahnya akan mengeluarkan kata yang baik-baik saja," katanya.

Sementara itu, pakar motivasi, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah, berkata majlis tazkirah yang bermaksud peringatan kritikal dalam usaha mengajak masyarakat kepada kebaikan melalui mesej yang disampaikan.

Katanya, itulah masa penceramah menyentuh hati mereka yang lupa untuk melaksanakan tanggungjawab supaya ibadat puasa Ramadan yang menjadi modal akan beroleh keuntungan daripada solat sunat Tarawih dan majlis tazkirah itu.

"Tambahan syaitan dirantai pada Ramadan, jadi hati menjadi lunak serta mudah menerima peringatan. Masa ini penceramah boleh ingatkan jemaah jangan solat sunat Tarawih saja berjemaah, solat fardu pun hendaklah di lakukan secara berjemaah.

"Masa itu juga boleh diingatkan suami supaya tidak melupakan tanggungjawab kepada isteri atau umat Islam jangan lupa mengeluarkan zakat. Manusia ini ibarat besi panas, hendak selalu diketuk barulah nanti hasilnya leper cantik," katanya.

Beliau berkata, jangan sekali ada pihak menyalahgunakan majlis tazkirah untuk tujuan politik atau mengutuk pemimpin kerana tazkirah ketika Ramadan pernah diharamkan apabila ada pihak menjadikannya medan menghentam pihak lain.

Mohd Fadzilah juga menggalakkan penceramah mengingatkan jemaah kelebihan solat sunat Tarawih sebagai penapis kerana mereka yang berjaya melaksanakan ibadat itu berterusan sebulan adalah mereka yang dipilih Allah.

Katanya, mereka itu juga layak meraikan Aidilfitri yang menandakan kembalinya seseorang kepada fitrah, ibarat seperti bayi kerana kejayaan mendapat rahmat, pengampunan dan dibebaskan daripada api neraka pada Ramadan ini.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url