Gempa terus gegar Indonesia
Walaupun telah hampir dua minggu kejadian itu berlaku namun bagi mangsa yang terlibat, peristiwa tersebut pastinya meninggalkan kesan dan trauma yang sangat mendalam, apatah lagi jika ahli keluarga mereka sendiri terkorban dalam kejadian itu.
Dan lebih malang lagi kejadian itu berlaku ketika umat Islam sedang menjalani ibadah puasa. Namun ketabahan dan kekuatan mereka untuk terus menjalani hidup dan meneruskan ibadah puasa sememangnya sesuatu yang mengkagumkan.
Dalam kejadian tersebut dilaporkan 33 orang terbunuh pada hari pertama kejadian di beberapa lokasi di Jakarta dan Jawa Barat akibat gempa bumi yang berukuran 7.3 pada skala richter melanda Tasikmalaya dekat Bandung.
Dan sehingga kini 78 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 50 orang lagi dipercayai masih tertimbus dan kemungkinan besar dipercayai telah mati. Akibat gempa bumi ini juga 88,000 orang dipercayai hilang tempat tinggal berikutan 54,000 buah rumah dan bangunan rosak teruk dalam kejadian itu. Gempa tersebut telah menyebabkan kerugian lebih RM350 juta dengan kerugian terbesar di Tasikmalaya dan Bandung berikutan banyak infrastruktur serta bangunan rosak. Kesan gempa bumi tersebut turut dirasai di Bali dan kepulauan Sumatera.
Cianjur merupakan kawasan yang paling teruk dilanda gempa itu dan puluhan yang lain dipercayai masih tertimbus di bawah runtuhan. Badan Meteorologi dan Geofizik Indonesia turut melaporkan tsunami kecil berlaku di Pelabuhan Ratu, Jawa Barat.
Tertimbus
Antara kawasan yang teruk dilanda kejadian itu ialah di Kampung Rawa Hideung di pedalaman Cibinong dan kebanyakan rumah di situ tertimbus akibat tanah runtuh ekoran tanah bukit yang bergelongsor.
Dalam kejadian yang berlaku pada kira-kira pukul 3 petang itu, ketika kebanyakan penduduk bersiap untuk berbuka puasa kebanyakan penduduk hanya mampu melihat tanpa dapat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku sangat pantas.
Kebanyakan penduduk yang terselamat di tempatkan di khemah-khemah yang dibina oleh Badan Pengurusan Bencana serta khemah yang dipasang sendiri oleh penduduk di hadapan rumah masing-masing.
Agensi bantuan turut menjalankan tugas mengagih-agihkan barangan keperluan asas seperti khemah, makanan dan selimut namun usaha menyalurkan bantuan di beberapa kawasan pedalaman adalah sukar kerana tanah runtuh.
Sehingga kini pasukan penyelamat masih meneruskan operasi mencari mangsa gempa sekalipun harapan untuk menemui berpuluh-puluh mangsa yang tertimbus yang masih selamat, semakin tipis.
Kini selepas lebih dua minggu kejadian gempa berlaku ribuan mangsa bencana masih lagi menginap di khemah-khemah pemindahan sementara.
Bagi mangsa yang rumahnya mengalami kerosakan kecil, mereka telah mula memperbaiki kerosakan apatah lagi hanya tinggal kira-kira seminggu lagi sebelum Hari Raya Aidilfitri menjelma.
Bagaimanapun bagi rumah mereka yang musnah sama sekali tiada apa dapat dilakukan dan hanya mampu mengharapkan kerajaan memberi bantuan segera.
Walaupun bantuan asas seperti makanan dan pakaian mencukupi, tetapi mereka tetap memerlukan bantuan untuk memulakan hidup baru. Apatah lagi tempoh hari raya Aidilfitri semakin hampir dan pastinya mereka tetap memerlukan bantuan untuk meringankan beban.
Walaupun beberapa isu panas melingkari hubungan antara dua negara jiran seperti salah faham berkenaan tarian pendet dan beberapa lagi, ternyata semangat serumpun yang menebal mengatasi semua kekusutan itu. Antaranya seramai 35 orang pelajar perubatan Malaysia di Jakarta dan Bandung yang diketuai Penasihat Pendidikan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Dr. Junaidi Abu Bakar dengan kerjasama Kelab UMNO Luar Negara telah menyertai pasukan sukarelawan Bulan Sabit Merah Indonesia bagi memberi bantuan kepada mangsa gempa bumi di Pangalengan, Bandung Selatan pada 6 September lepas.
Akhbar Utusan Malaysia turut memainkan peranan untuk meringankan beban yang ditanggung penduduk terutama bagi mereka yang terpaksa menjalani ibadah puasa dalam keadaan serba kekurangan dengan sekali lagi melancarkan Tabung Gempa Nusantara Utusan Maybank.
Sesungguhnya bencana yang menimpa ini bukan di minta tetapi ia berlaku atas ketentuan Allah. Maka dengan usaha yang dijalankan oleh mereka yang prihatin termasuklah dari akhbar ini, adalah diharapkan ia dapat meringankan beban penduduk untuk terus sama menjalani ibadah puasa dan meraikan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
- MINGGUAN MALAYSIA