Kenapa perang terorisme hanya di negara Islam?
Trajedi 911 di Amerika Syarikat (AS) menyebabkan Washington serta sekutunya melancarkan Perang Anti Keganasan Global (PAKG).
Anehnya, peperangan yang realist-centric, rentas-sempadan, tidak mempunyai musuh yang jelas, dan tidak mempunyai had masa yang spesifik ini hanya ditumpukan ke Dunia Islam di benua Asia.
Tumpuan spesifiknya pula hanya Iraq yang kaya dengan rizab minyak dan gas, Afghanistan yang strategik kepada operasi pengeluaran gas dan signifikan kepada percaturan ketenteraan di Asia Tengah, dan Filipina yang pernah memberikan kemudahan pangkalan tentera laut dan udara kepada AS di era Perang Vietnam.
Hakikat ini menimbulkan pelbagai pertanyaan. Penting sekali, apakah ada motif politik, ekonomi dan ketenteraan AS di sebalik PAKG?
Adakah hasrat mengekang potensi China yang bangkit sebagai kuasa gergasi ekonomi dunia di abad ke-21 yang menjadi agenda rahsia peperangan ini?
Oleh sebab itulah juga PAKG memunculkan asymmetric kuasa baru di Asia dan di serata dunia. Ia merobah landskap keselamatan dan strategi. Ia menyebabkan kajian hubungan antarabangsa penuh dengan andaian dan misteri yang mengelirukan.
Adakah ini akibat unipolar dunia di mana AS sebagai kuasa gergasi global tunggal boleh bertindak sesuka hati?
Jika benar tragedi 911 angkara pengganas, mengapakah bukan pengganas yang diburu secara habis-habisan menerusi PAKG? Mengapakah yang diperangi adalah terorisme?
Pengganas adalah manusia yang nyata. CIA, agensi perisikan AS, arif mengenai hal ini. Lantaran itu, mengapakah tidak dihapuskan sahaja kelompok-kelompok ini yang identiti, modus operandi, kepakaran, serta lokasinya diketahui oleh CIA?
Apakah daya usaha negara-negara Islam ke arah mengatasi ketidakadilan seperti ini?
Mengapakah tidak ada pakar-pakar keselamatan dan strategi daripada kalangan negara Islam yang mampu atau berani bersuara mengenai fenomena ini?
Segala-galanya bermula pada pagi 11 September 2001. Hanya 44 minit selepas Menara Kembar Pusat Dagangan Dunia di New York dan Ibupejabat Pentagon di Washington D.C. diserang, Presiden George W. Bush mengeluarkan kenyataan, tragedi itu adalah angkara pengganas Islam.
Menurut Baxter & Downing (2001:8), tragedi 911 bermula pada jam 8.47 pagi waktu AS Timur. Pada 9.31 pagi, Presiden Bush mengeluarkan kenyataan ringkas di Sarasota, Florida.
Kata Bush, AS telah diserang dan serangan itu dilakukan oleh kumpulan pengganas. Pada 1.04 petang, Bush membuat satu lagi kenyataan di Pangkalan Tentera Udara Barksdale, Lousiana. Pada 8.30 malam, beliau mengulangi kenyataannya itu.
Hakikat bahawa Bush membuat kenyataan pertama pada 9.31 pagi dimuatkan dalam The 9/11 Commission Report 2004.
Suruhanjaya ini mengkaji sejumlah 2.5 juta halaman pelbagai dokumen berkaitan 9/11. Anehnya, dakwaan Bush ini tidak pernah disiasat atau dibuktikan secara sahih.
Sempena peringatan Tragedi 911, wajar ditanyakan adakah tuduhan Bush itu berwibawa? Ini penting kerana kini ramai yang mempertikaikan kesahihan laporan rasmi mengenai tragedi 911 oleh kerajaan AS pada 21 Ogos 2004.
Pada masa yang sama, wujud desakan supaya Presiden Barack Obama menubuhkan badan penyiasat untuk memastikan Tragedi 911 bukan "sandiwara dalaman" pentadbiran Bush.
Sebuah akhbar German, Junge Welt pada 29 April lalu memetik laporan sebuah badan sukarela AS yang menyatakan 12 ahli politik antarabangsa telah mendesak Obama mengadakan siasatan baru.
Desakan itu dibuat kerana penemuan Suruhanjaya 911 berbeza dengan apa yang diperolehi oleh para penyelidik lain.
Tuduhan Bush mengenai pengganas Islam dan Tragedi 911 perlu dipastikan kredibilitinya.
Tuduhan itu menyebabkan segolongan umat Islam, negara Islam dan wilayah Islam di benua Asia kini menjadi sasaran PAKG.
Persoalannya, mengapakah AS tidak terlebih dulu melakukan siasatan terhadap dakwaan Bush itu?
Mengapakah hanya setelah lebih setahun Tragedi 911, baru kerajaan AS mewujudkan The National Commission on Terrorist Attacks Upon the United States atau The 9/11 Commission iaitu pada 27 November 2002?
Dalam kata lain, bagaimanakah dalam tempoh 44 minit setelah rempuhan, Bush boleh mengeluarkan tuduhan bahawa ia angkara pengganas?
Mengapakah hanya 26 hari selepas Tragedi 911, AS dan sekutunya terus melancarkan PAKG? Dan, mengapa pula hanya kira-kira 15 bulan setelah tragedi itu, baru diwujudkan suruhanjaya untuk menyiasatnya?
Persoalan ini memerlukan jawapan. Menurut Carroll (2004:2), beberapa hari selepas Tragedi 911, Bush menyatakan, PAKG adalah crusade atau perang salib.
Mullard & Cole (2007:87) pula menegaskan, akibat PAKG, mutakhir ini Islam pula disifatkan sebagai agama cacat yang dikaitkan dengan keganasan. Friedman (2004:ix) pula berkata, PAKG adalah Perang AS-Jihadis, Perang AS dan al-Qaeda dan Perang AS-Pelampau Islam.
Beberapa sarjana pernah melahirkan pandangan sinis mengenai perkembangan tersebut.
Jeffrey Record menegaskan, adalah silap untuk mentafsirkan PAKG sebagai peperangan sebab ia disasarkan kepada terorisme, bukannya pengganas. Ini akan menyebabkan kegagalan yang strategik kepada AS.
Williams (2007:204) pula memetik memo Donald Rumsfeld yang disiarkan oleh akhbar USA Today, 16 Oktober 2003, bahawa ratio faedah kos PAKG adalah tidak memihak kepada AS.
Kesimpulannya, PAKG banyak misteri. Kenapa perangi terorisme bukannya pengganas?
Jika PAKG bersikap global, mengapa hanya ditumpukan ke Asia Barat, Asia Tengah dan Asia Tenggara? Adakah PAKG benar-benar untuk menghapuskan terorisme atau mempunyai agenda rahsia terhadap China?