Provokasi media cetus kemarahan terhadap Malaysia
Wimar berkata, bibit perasaan marah dan benci itu telah tersemai seawal tahun 1960-an apabila bekas Presiden Soekarno dengan karismanya memarakkan semangat rakyat Indonesia dalam kempen Konfrontasi yang bertujuan untuk menggugat kestabilan Malaysia, yang ketika itu baru merdeka.
"Api kemarahan yang dimarakkan oleh Soekarno itu tidak mudah padam. Ia hanya terpendam dan menjadi ketara apabila Malaysia ternyata menjadi lebih berjaya, terutamanya daripada segi ekonomi," katanya.
Perbalahan berpunca daripada budaya dan pelancongan adalah sebahagian daripada perasaan yang terpendam itu, kata Wimar.
Walaupun mempunyai 17,000 buah pulau tropika, pantai dan terumbu serta kaya dengan warisan budaya, Indonesia hanya berjaya menarik lebih enam juta pelancong asing pada tahun lepas, berbanding kira-kira 22 juta pelancong yang melawat Malaysia.
Disebabkan provokasi daripada media yang menggemari sensasi, isu tersebut hanyalah satu lagi isu maruah tercalar yang boleh menghasut rakyat 'yang tidak mempunyai kewarasan, tidak memiliki kebijaksanaan dan tidak memiliki kefahaman', kata beliau.
Kerana tiadanya kewarasan, kebijaksanaan dan kefahaman itulah rakyat Indonesia terus meluahkan kemarahan berhubung kontroversi Tarian Pendet, sekalipun sudah terbukti Malaysia tidak terlibat sama sekali dalam penyiaran iklan pelancongan yang memaparkan tarian tradisional penduduk Bali itu.
Malah kemarahan mereka yang tidak berasas itu telah membawa kepada seruan supaya perang dilancarkan ke atas Malaysia.
Puak nasionalis di sini sudah pun membuka pendaftaran untuk sukarelawan yang sanggup pergi berperang dengan Malaysia, tetapi mereka mengakui tindakan itu lebih bersifat simbolik.
"Kami ada 486 sukarelawan yang sudah mendaftarkan diri dan bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan...kami hanya menunggu perang dengan Malaysia," kata penyelaras kempen anjuran kumpulan pemuda nasionalis Bendera, Mustar Bonaventura.
Dia mengakui kemungkinan berlaku perang adalah sangat tipis tetapi kumpulannya sudah menyimpan stok makanan, ubat-ubatan dan senjata termasuk pedang samurai dan 'bintang' ninja.
- AFP