Tak bosan kah pilihan raya kecil tak habis-habis...

Oleh DR HEAZAR ISMAIL

Saya ingin mengucapkan salam Ramadan kepada seluruh muslimin dan muslimat yang turut sama–sama menunaikan ibadat puasa kali ini. Semoga segala amalan yang telah dan akan didirikan oleh kita mendapat keberkatan Allah swt.

Bagi saya sendiri, ini merupakan kali kedua kami suami-isteri berpuasa di negara sendiri. Dan terus-terang saya katakan amat bertepatan sekalilah pujangga yang melahirkan pepatah “hujan emas di negeri orang, lebih baik hujan batu di negeri sendiri”.

Ini kerana sepanjang pengalaman saya berpuasa dipelbagai situasi di luar negara, sama ada sebagai pelajar, pekerja, suami dan ketua keluarga; tiadalah pengalaman yang lebih nikmat melainkan suasana dan ketenangan yang saya alami sekarang ini, yakni ketika berpuasa di negara sendiri bersama – sama kemeriahan masyarakat dan keluarga menyambut Ramadan dan juga ketibaan Syawal pada tahun ini.

Kemeriahan Bersyarat

Apabila kita menyebut tentang kemeriahan suasana, dewasa ini di kawasan – kawasan tertentu di seluruh negara kita juga turut mengalami suasana “kemeriahan bersyarat” iaitu suasana pilihan raya kecil yang sama ada berlaku secara sengaja ataupun melalui ketentuan Tuhan terhadap para wakil rakyat yang baru sahaja dipilih pada 8 Mac 2008.

Bermula dengan Pilihan Raya Kecil P44 Permatang Pauh, kemeriahan ini, sama ada melalui perancangan manusia mahupun ketentuan Allah S.W.T turut terbawa–bawa sehingga ke Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau, Batang Ai, Penanti, Manik Urai dan yang terbaru di Permatang Pasir, dan ada pula ura–ura kemeriahan ini akan turut “di panjangkan” ke Kota Siputeh dan beberapa kawasan lagi di seluruh negara.

Maka, tertumpulah segala perhatian rakyat dan berpusu–pusulah sekelian wakil media, pasukan keselamatan, para penyokong parti, ahli–ahli politik dan pembuat dasar; masing–masing berkampung di kawasan berlakunya pilihan raya kecil tersebut, dan masing–masing berjuang setulus ikhlas demi untuk memastikan kemenangan ideologi atau parti yang mereka wakili atau minati.

Kesemuanya kita telah menyaksikan lapan pilihan raya kecil sejak pilihan raya umum Mac 2008.

Melihat kepada perihal caca–marba ini, terus terang saya katakan ketika berlangsungnya pilihan raya kecil yang pertama hingga yang ke empat, saya masih lagi berminat untuk mengikuti perkembangannya tetapi sebaik sahaja memasuki kali ke lapan pilihan raya kecil di negara kita ini diadakan, rasa bosan mula timbul dan terasa seolah–olah kita sekarang berada di dalam satu mimpi yang berulang–ulang dan saya takut kita tidak akan sedar dari buaian mimpi ini.

Pilihanraya - Agenda Politik

Kebosanan saya terhadap hal ini berpunca dari beberapa perkara. Pertamanya setiap kali pilihanraya kecil, maka taktik yang sama akan digunakan iaitucharacter assassination atau pembunuhan karektor para calon yang bertanding secara sistematik, tanpa ada perbincangan yang serius dan bersifat terbuka antara parti dan ideologi yang bertanding dan ingin meraih sokongan akan perubahan; sama ada dari segi dasar mahupun pembangunan yang akan dilaksanakan di peringkat setempat atau nasional sekiranya mereka berjaya meraih sokongan dan mendapat kerusi di tempat terbabit.

Pembunuhan karektor dan pelbagai pertuduhan yang disebarkan di antara calon–calon pilihan raya ini dijalankan tanpa ada etika mahupun sempadan budi bicara dan tatasusila yang sepatutnya tinggi di kalangan kita masyarakat Timur dan umat Islam terutamanya.

Maka habislah segala macam cerita dikorek tentang calon–calon yang bertanding, dari kelakuan di tempat kerja sampailah ke hal ehwal dalam kelambu; dan seboleh–bolehnya ia mestilah isu ataupun perkara yang paling aib ataupun sensasi, agar pembunuhan karektor ini akan menyebabkan calon sesebuah parti itu dapat “ditumbangkan” di mata hati dan jiwa nurani rakyat sebelum mereka memangkah di peti undi.

Yang keduanya, saya agak menyesali langkah sesetengah pihak yang beria–ia mengadakan pilihanraya kecil demi untuk memenuhi kehendak serta agenda politik peribadi.

Ia, bagi saya suatu perkara yang jelik kerana ini dengan jelas sekali melambangkan karektor seseorang pemimpin itu yang lebih mementingkan dirinya berbanding dengan kepentingan rakyat.

Ketika negara dan rakyat sedang dihimpit dengan pelbagai kekangan ekonomi dan kewangan, mengadakan pilihan raya kecil yang jelas sekali akan menelan belanja yang besar bagi kerajaan sememangnya tidak wajar, kerana ia menafikan hak rakyat kebanyakan terhadap nikmat pembangunan dan prasarana yang dapat dibangunkan melalui wang dan perbelanjaan yang dibazirkan kearah pilihan raya kecil demi untuk menegakkan prinsip demokrasi kononnya.

Kita juga perlu sedar yang dengan adanya pilihan raya kecil dalam kadar yang agak berkala dewasa ini, maka tumpuan ke arah pembangunan negara dan penumpuan ke arah kebajikan rakyat akan sedikit sebanyak terjejas di kawasan–kawasan yang tidak terlibat dengan pilihanraya kecil itu sendiri.

Hujah ini saya ketengahkan kerana, apabila sesuatu pilihan raya kecil itu diadakan, maka penumpuan pihak keselamatan seperti polis, pihak berkuasa kerajaan tempatan, pembuat dasar dan ahli politik dari kerajaan mahupun pembangkang akan terus difokuskan kepada pilihan raya kecil tersebut.

Dengan jelas sekali, ini sedikit sebanyak akan menjejaskan konsentrasi perkhidmatan seperti pihak keselamatan serta para pembuat dasar dari kedua–dua pihak yang bertanding untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka terhadap rakyat di kawasan yang mereka wakili.

Dan sekiranya dibiarkan berlarutan sebegini rupa, tentu kesannya akan amat negatif pada jangka masa panjang, terutamanya terhadap pembangunan ekonomi negara yang jelas sekali memerlukan konsentrasi penuh para pembuat dasar bagi memastikan negara kita berjaya menjangkaui rintangan kemelesetan global ini dengan jayanya.

Dan ini termasuklah parti-parti yang bergabung dalam Pakatan Rakyat kerana mereka juga memerintah di empat buah negeri termasuklah di Pulau Pinang yang mana berlangsungnya pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Pilihan raya, yang sepatutnya merupakan proses murni ke arah melaksanakan demokrasi dewasa ini di momok–momokkan dan dipergunakan untuk menjadi alatan meraih populariti, medan untuk membuat tohmahan palsu dan pelbagai edik dan doktrin yang jelas menimbulkan kegusaran, kekeliruan dan juga perpecahan di kalangan para penyokong parti politik dan masyarakat itu sendiri.

Trend ini jika berterusan mungkin bukan sahaja akan menggugat persepsi Malaysia sebagai sebuah negara yang stabil dan menarik untuk pelabur luar, malah yang paling saya risaukan ialah mungkin suatu hari nanti Malaysia akan menjadi terkemuka dan dimasukkan di dalam the Guiness World of Records sebagai negara yang paling banyak mengadakan pilihan raya kecil dalam satu–satu penggal pemerintahan.

Mungkin ini satu pandangan yang agak sinis, namun berdasarkan senario semasa, ia berkemungkinan menjadi realiti.

Persoalannya sekarang ialah, siapakah yang harus bertanggungjawab? Pada hemat saya, melainkan bersebabkan ketentuan Tuhan yang tak dapat dielakkan, pertanggungjawaban yang penuh haruslah dipikul oleh barisan kepimpinan parti–parti yang terlibat di dalam proses demokrasi di negara kita ini.

Sebagai contoh, inginlah saya sarankan agar pemilihan calon untuk mewakili sesuatu parti itu sendiri bukan sahaja perlu mengambil kira faktor integriti, latar belakang pendidikan dan kebolehpasaran calon di mata pengundi, malah perlu juga mengambil kira faktor kesihatan fizikal dan mental bakal–bakal calon untuk menjalankan tanggungjawab utama mereka sebagai wakil rakyat.

Politik Bertanggungjawab

Bagi kebanyakan parti politik yang mana semuanya menyuarakan hasrat murni mereka untuk membela rakyat, adalah amat tidak bertanggungjawab sekiranya proses penentuan calon – calon pilihanraya bagi parti tersebut tidak melalui sebarang tapisan, malah lebih kepada cara “tangkap muat” seperti yang diamalkan oleh sesetengah parti politik tertentu dewasa ini.

Inilah faktor utama yang telah menyebabkan berlakunya sindrom “wakil rakyat terkejut”; yang mana impaknya jelas ketara di masa kini dengan pelbagai skandal, permasalahan sama ada dari segi kesihatan, moral mahupun faktor lain yang secara langsung mahupun tidak langsung menyebabkan timbulnya pelbagai polemik dan permasalahan dari segi kelancaran pentadbiran sesebuah negeri mahupun negara.

Maka dari situ, tumpuan utama proses pilihan raya iaitu kearah pelantikan wakil suara rakyat dan pembentukan sebuah kerajaan yang dapat memberi perkhidmatan kepada rakyat itu lari dari niat asalnya dan berubah menjadi sebuah travelling circus atau sarkas bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain mengikut apa sahaja permasalahan yang timbul dan seterusnya mengabaikan keperluan dan hak rakyat untuk mengecapi pembangunan dan governan yang sempurna dari wakil–wakil mereka yang dipilih.

Pada hemat saya, semua pihak perlulah bertanggungjawab. Usahlah dibiarkan winning at all costs atau menang dengan apa jua cara dijadikan mantra dalam perjuangan.

Keperluan, aspirasi dan hak rakyat untuk mengecapi negara yang aman, membangun dan makmur tanpa gangguan tidak perlu diabaikan sekiranya parti–parti politik mengamalkan dasar dan sikap politik yang matang, bertanggungjawab dan sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dan negara melebihi agenda ingin merebut kekuasaan.

Mungkin dalam Ramadhan ini, ketika nafsu amarah lebih terkunci, tak kala tekanan darah dan kandungan gula di dalam badan dilaras kembali kerana berpuasa, rasa rasional dan rasa pertanggungjawaban itu akan kembali dan mungkin ia akan mendorong kepimpinan politik dari pelbagai parti di negara kita untuk lebih mengutamakan kepentingan rakyat dan negara dalam perjuangan politik mereka.

Mudah–mudahan satu era politik lebih bertanggungjawab, matang, profesional dan yang lebih mendahulukan rakyat; seperti mana yang diseru oleh YAB Perdana Menteri melalui konsep 1Malaysia itu dapat disaksikan di masa hadapan, tanpa perlu ada kecelaruan dan polemik yang bakal mengganggu gugat kestabilan, kemakmuran dan perpaduan rakyat secara khususnya dan negara dapat dizahirkan.

Apapun, saya amat pasti yang rakyat jelata secara umumnya tidak sedikit pun akan merasa bangga mahupun merelakan sekiranya negara kita ini tersenarai sebagai negara yang paling banyak mengadakan pilihan raya kecil di dalam Guiness World Book of Records!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url