Jadikan takaful pilihan utama
Pada bulan ini juga telah disediakan pelbagai kelebihan oleh Allah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW: "Telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan ke atas kamu berpuasa, padanya dibuka pintu syurga, ditutup pintu neraka dan dibelenggu segala syaitan, padanya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, barang siapa yang tidak mendapat sebarang kebaikan maka tiada tidak mendapat apa-apa". (riwayat Ahmad dan Al Nasai)
Bulan Ramadan juga meriah dengan pelbagai aktiviti kerohanian seperti berpuasa, zakat fitrah, tadarus al-Quran, solat tarawih, lailatul qadar, sedekah, memberi makan orang berpuasa dan sebagainya.
Pendek kata, bulan ini manusia semuanya sedar akan tanggungjawabnya, semua kembali kepada fitrah asalnya. Oleh itu layak untuknya menyambut hari kemenangan kembali kepada fitrah (Idul Fitri).
bulan jihad
Sejarah telah membuktikan bahawa bulan Ramadan adalah bulan jihad yang telah menyaksikan banyak peristiwa jihad berlaku pada bulan ini. Sekali gus membuktikan bahawa umat Islam adalah ummah yang dinamik dan progresif.
Di antaranya, Peperangan Badar yang terjadi pada 17 Ramadan tahun kedua Hijrah. Perang Badar dianggap sebagai perang terbesar dan kemenangan terbesar yang diraih umat Islam di awal pertumbuhannya di Madinah.
Fathu Mekah yang terjadi pada tahun ke lapan hijrah. Jihad ini merupakan kemenangan untuk menghancurkan tuhan-tuhan berhala dan menegakkan panji kebenaran, peperangan Qadisiyyah di mana orang-orang Majusi di Persia ditumbangkan dan sebagainya.
Oleh yang demikian, tarbiah Ramadan ini bukan perkara main-main. Hasil yang ingin diperoleh daripada tarbiah madrasah Ramadan ini ialah melahirkan insan-insan yang bertakwa kepada Allah SWT yang akan berjihad melaksanakan amar makruf dan nahi munkar.
Sepanjang bulan ini, pelbagai latihan disediakan untuk kita melaksanakan untuk menyuburkan semangat jihad seperti yang diperintahkan Allah SWT: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah...(Ali-Imran: 110)
Selaku orang-orang yang memperjuangkan muamalat Islam, kita harus mempersiapkan diri berdepan dengan medan sebenar di mana tugas menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah tanggungjawab kita semua.
Allah telah menjanjikan rahmat dan ganjaran yang berlipat kali ganda bagi hamba-Nya yang melaksanakan ibadah atau perkara kebaikan di bulan ini.
Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya 10 kali ganda serupa dengannya hingga 700 kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." (riwayat Bukhari dan Muslim)
Walaupun umat Islam sedang melaksanakan rukun Islam yang ketiga berdepan dengan lapar, dahaga, letih dan sebagainya, namun, jihad ekonomi yang telah dimulakan sebelum ini tidak perlu dihentikan begitu sahaja dan perlu diteruskan.
Ini kerana, ekonomi adalah salah satu cabang daripada ajaran Islam itu sendiri dan tidak boleh dikesampingkan. Malah, penekanan terhadapnya haruslah seiring dengan aspek politik, sosial dan sebagainya. Semua ini menjadikan Islam itu sebagai agama yang syumul (sempurna) dan merangkumi seluruh kehidupan manusia.
Mengajak manusia melaksanakan ekonomi Islam dan beramal dengannya merupakan suatu ibadah yang pasti mendapat ganjaran baiknya di sisi Allah.
Persoalannya, adakah kita benar-benar ingin melaksanakannya atau mengharap orang lain melunaskan 'tugasan' tersebut bagi pihak kita.
Dewasa ini sistem kewangan Islam semakin berkembang dan kehadirannya semakin dirasai. Jika sebelum ini masyarakat terdedah dan 'terdidik' dengan sistem konvensional, namun, hari ini kita boleh berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh industri kewangan Islam.
Statistik sehingga 31 Disember 2008 menunjukkan industri takaful mewakili sejumlah 7.2 peratus daripada pasaran insurans secara keseluruhannya. Namun inisiatif-inisiatif yang ditunjukkan oleh syarikat-syarikat takaful dan retakaful sedia ada memperlihatkan perkembangan positif industri ini untuk masa-masa akan datang.
Di antara inisiatif syarikat-syarikat ini yang membuktikan industri takaful bukan sekadar alternatif kepada insurans konvensional adalah mereka menawarkan produk-produk yang mempunyai kelebihan yang tersendiri dan kompetitif. Ia mampu menyaingi produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat-syarikat insurans konvensional.
Penilaian yang menyeluruh mestilah menjadi kayu ukur dalam menentukan sesuatu keputusan yang dibuat adalah merupakan keputusan yang terbaik. Justeru, dalam membandingkan produk-produk yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat takaful dan insurans konvensional, penilaian bukan sekadar merangkumi aspek harga dan manfaat yang ditawarkan.
nilai murni
Malah ia perlu juga dinilai dalam bentuk yang lain seperti aspek spiritual dan nilai murni yang ingin diterapkan. Apabila kita menilai aspek tertentu sahaja, sudah pasti kelebihan dan 'kecantikan' sistem tersebut tidak dapat diserlahkan dan keadilan tidak dapat dizahirkan.
Biarpun telah wujud sistem kewangan yang berasaskan prinsip Islam, namun, masih ada di kalangan umat Islam hari ini yang masih terlibat dengan perbankan dan insurans konvensional. Mereka mencipta 1,001 alasan untuk mengelak daripada terlibat dengan sistem kewangan Islam seperti produk-produk yang ditawarkan oleh perbankan Islam dan takaful mahal harganya berbanding produk-produk syarikat konvensional.
Itulah sikap manusia, bila tiada sesuatu perkara, mereka sibuk menggesa agar diwujudkan dan apabila telah diwujudkan, mereka juga 'sibuk'. Sibuk mencipta 1,001 macam alasan untuk mengelakkan diri daripada terlibat atau melaksanakan perkara tersebut.
Sebagai seorang Muslim yang beriman, sudah pasti kita ingin memastikan apa yang dilakukan seharian selari dengan kehendak dan prinsip-prinsip Islam.
Namun, adakah kita sedar, dengan melibatkan diri dengan perbankan dan insurans konvensional, kita mendedahkan diri kita dengan dosa riba. Allah dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang ke atas orang-orang yang terlibat dengan riba tidak kiralah sama ada pemberi, penerima, penulis perjanjian berkaitan riba dan sebagainya.
Adakah kita masih ingin melibatkan diri dengan dosa besar tersebut sedangkan sudah ada alternatif kepada kedua-duanya iaitu industri perbankan Islam dan takaful?
Maksud firman Allah SWT: Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah saki baki Riba sekiranya kamu benar-benar beriman, sekiranya kamu tidak meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah: 278)
Kita biasa mendengar mengenai jihad ekonomi yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam. Namun, apabila peluang diberi untuk melaksanakan agenda tersebut, kita seringkali mengelak.
Masyarakat seharusnya turut serta melibatkan diri dalam sistem takaful bagi menjayakan sistem ekonomi Islam yang memberikan keadilan dan keuntungan bukan sekadar duniawi, lebih-lebih lagi ukhrawi.
Sistem kewangan Islam, sama ada yang berkaitan dengan takaful atau perbankan hakikatnya adalah satu sistem mematuhi syariah dan tiada unsur-unsur haram seperti riba, gharar (shubhat) dan maisir (judi).
Justeru ia merupakan satu platform melakukan ibadah kepada Allah. Menerusi sistem takaful seseorang itu berpeluang melakukan derma/infaq/sedekah 'kelas pertama' yang mana amalan ini sangat digalakkan di bulan Ramadan al Mubarak ini.
Menerusi sistem takaful ini seseorang itu juga boleh menjadikannya sebagai satu platform melakukan dakwah dan jihad mengajak ummah meninggalkan sistem riba kepada satu sistem yang diredai oleh Allah.
Risalah Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW tidak terhenti dengan kewafatan baginda. Setiap individu Muslim wajib meneruskan usaha mengembangkan ajaran Islam di muka bumi ini. Sebagaimana dijelaskan di dalam surah Fussilat ayat 33.
Bersempena dengan Ramadan yang mulia ini, marilah kita thabatkan dalam hati bahawa kita bukan sekadar ingin membuat perubahan dalam diri kita, daripada yang lebih baik kepada yang terbaik dari sudut ibadah dan akhlak.
Malah, kepada keseluruhan sistem kehidupan kita yang bersangkut paut dengan ekonomi, sosial, politik dan lain-lain lagi. Mudah-mudahan umat yang lahir hasil madrasah Ramadan kali ini merupakan umat yang akan memperjuangkan pelaksanaan Islam dalam seluruh sistem kehidupan termasuklah dalam sistem kewangan.
- UTUSAN