Usah beri ruang lagu & drama Indonesia

Saya merujuk tulisan Noorhani bertajuk Kita Diam Diganyang Indonesia? dalam ruangan ini pada 7 September lalu. Saya amat bersetuju dengan pandangan beliau.

Dicemuh, dicaci dan dihina oleh jiran yang serumpun, malah sebilangan besarnya saudara seagama, amat menyakitkan. Tetapi lebih menyakitkan apabila media kita seolaholah tiada semangat nasionalisme dalam isu ini.

Media penyiaran khususnya hanya lebih mementingkan keuntungan berbanding menyelami isi hati rakyat Malaysia.

Kenapa kita diperlakukan sebegini rupa, sehinggakan ada rakyat Indonesia yang sudah bersiap siaga untuk melancarkan perang ke atas Malaysia, kita masih mengagungkan mereka di dalam radio dan televisyen?

Bahkan dengan angkuh sekali, seorang penyanyi utama kumpulan seberang yang terkenal di Malaysia, melabel Malaysia sebagai pencuri dan mengatakan bahawa beliau tidak kisah jika tidak dibenarkan membuat persembahan di Malaysia selepas ini.

Kenyataan angkuh artis ini mungkin hanya berlalu seiring waktu apabila nanti ada pihak yang tidak peka dan terus menjemput artis yang begitu nyata menghina negara kita.

Boleh dikatakan setiap siaran TV di Malaysia ini menayangkan drama-drama Indonesia yang mana lebih 80 peratus daripadanya begitu murahan dan mempunyai unsur-unsur yang tidak elok.

Begitu juga halnya dengan radio, setiap kali menukar siaran pasti terdengar lagu-lagu dari seberang.

Bukanlah kita ingin bersikap tidak rasional seperti Indonesia tapi sekurang-kurangnya biarlah nampak kita berbuat sesuatu, bukan sekadar memejamkan mata dan memekakkan telinga.

Hati saya, bahkan seluruh rakyat Malaysia, rasa terhiris apabila mereka membakar bendera negara ini yang amat dicintai.

Jika kita melayari Internet tidak terkira begitu banyak sekali kata-kata nista yang dihambur ke atas Malaysia, bukan sahaja di sesawang individu bahkan laman web yang terkenal seperti Youtube.

Di sini, tidak perlulah kita menyatakan lagi siapa yang bersalah dalam ketegangan ini, kerana yang pasti, pihak Indonesia telah memekakkan telinga dan membutakan mata, dan hanya berpegang pada kepercayaan awal mereka.

Fitnah yang dilempar dengan tanpa usul periksa, itulah yang mereka laung-laungkan dan dipegang menjadi dendam. Betapa kuat bukti dan fakta yang cuba Malaysia sampaikan hanyalah sekadar angin lalu bagi mereka.

Kelmarin kita melihat ekstremis mereka dengan mengadakan sekatan jalan raya dengan bersenjatakan buluh runcing untuk mengusir rakyat Malaysia di sana.

Apakah mereka tidak sedar berapa sangat nisbah rakyat kita di sana berbanding rakyat mereka di sini? Apakah mereka tidak sedar akibatnya jika rakyat Malaysia juga berfikiran singkat seperti mereka?

Indonesia seperti lupa apa ertinya kesefahaman, bertolak ansur dan saling memaafkan seperti mana yang dituntut dalam agama. Mereka seperti tidak menghayati rahmat Ramadan, dan masih melihat sesuatu isu dengan penuh perasaan benci.

Oleh itu, saya menyeru pihak media janganlah hanya berpeluk tubuh, media tidak perlu menghasut rakyat untuk mengangkat senjata berperang tapi cukuplah dengan mengadakan sekatan pada bahan-bahan produksi dari negara Indonesia.

Hentikanlah segala kerjasama hiburan dengan Indonesia kerana mereka tidak pernah menghormati negara kita.

Tidak perlu lagi kita mengagung-agungkan karya daripada pihak yang mempunyai dendam kesumat kepada kita.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url