Tiga termasuk dua wanita terlepas tali gantung
Keputusan penghakiman yang dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mariana Yahya itu disambut dengan linangan air mata oleh Syed Abdul Halim Syed Samaldin, 42, Rozana Ayob, 37, dan Noor Farahana Md Radzi, 20.
Keputusan itu turut disambut dengan linangan air mata dan katakata kesyukuran oleh beberapa anggota keluarga tertuduh yang turut berada di galeri awam mahkamah.
Ketigatiga mereka yang masing-masing beralamat dari Kampung Delima, Batu 5, Kepong; Medan Idaman, Gombak dan Taman Keramat Permai, Ulu Klang, Kuala Lumpur didakwa dengan niat bersama mengedar 1,736.23 gram kirakira 11.45 malam di bilik bernombor 102, Rumah Rehat Annexe, Jalan Teluk Sisek di sini, 29 Jan 2007.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati.
Dalam penghakimannya, Mariana berkata pihak pendakwa melalui keterangan saksi-saksinya gagal membuat pengesahan cap jari pada beg plastik berwarna kuning yang mengandungi dadah berkenaan.
"Sedangkan pengesahan cap jari pada beg plastik berkenaan adalah perlu untuk mengesahkan pemilik sebenarnya kerana terdapat lebih daripada seorang tertuduh dalam kes berkenaan," kata beliau.
Selain itu, Mariana berkata alat timbang untuk menyukat berat dadah itu turut tidak dibuat penentukuran dan dipersoalkan oleh pihak pembela sehingga menimbulkan keraguan mengenai berat sebenar dadah berkenaan.
Katanya setelah menilai dan menimbang secara maksimum keterangan yang ada, didapati tiada sebarang elemen pengedaran dadah yang boleh dikaitkan dengan ketigatiga tertuduh.
Seramai 11 saksi dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan.
Syed Abdul Halim dan Rozana diwakili peguam Bob Arumugam sementara Noor Farahana diwakili peguam Mohd Nadzim Ibrahim manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad.
Sementara itu, bapa mentua Syed Abdul Halim yang enggan dikenali berkata dia bersyukur kerana keputusan berkenaan akan menemukan semula menantu dengan anak serta tiga cucunya yang terpisah selama dua tahun enam bulan di Penjara Penor di sini, sementara menunggu kesnya selesai.
"Inilah yang dikatakan rahmat bulan Ramadan yang akan menemukan semula tali ikatan sebuah keluarga yang lama terpisah dan saya gembira melihat dia kembali ke pangkuan isteri dan tiga anak yang amat memerlukannya ketika ini," katanya.
Katanya, isteri Syed Abdul Halim yang juga anak sulungnya terpaksa menyara tiga anak yang bersekolah seorang diri selain menyambung pelajaran dan belajar tanpa sokongan suami di sisi.
- BERNAMA