Tune Talk sasar lebih 3,000 pengguna baru sehari
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo dalam kenyataannya di sini berkata, Tune Talk yang dilancarkan pada 19 Ogos, menarik lebih 1,000 pelanggan baru setiap hari.
Lo berkata, syarikat itu berhasrat dapat mendaftarkan sejuta pengguna dalam tahun pertama ia beroperasi.
Katanya, Tune Talk terus menarik segmen pasaran belia terutamanya remaja yang arif Internet, hasil daripada strategi portal dalam talian yang inovatif.
"Pelanggan-pelanggan mendapati ciri-ciri pendaftaran dalam talian, pengurusan akaun dan khidmat pelanggan kami berguna dan praktikal.
"Dengan Tune Talk, anda tidak perlu mendapatkan penjual kad prabayar untuk mencari nombor pilihan anda, sebaliknya anda boleh mendaftar secara online di laman web kami, www.tunetalk.com," katanya.
Kata Lo, pelanggan boleh menukar dan memilih semula nombornya hinggalah beliau berpuas hati.
Tune Talk, yang mengendalikan operator rangkaian maya mudah alih dengan memanfaatkan rangkaian 2.5G Celcom (M) Bhd, menawarkan pakej suara dan khidmat pesanan ringkas (SMS) tanpa perkhidmatan tambahan.
Pek SIM permulaan dijual dengan harga runcit RM5 yang disertakan dengan masa berbual bernilai RM5.