Port Dickson Bandar Tentera Darat

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Port Dickson yang terkenal sebagai bandar peranginan dijadikan Bandar Tentera Darat.

Beliau berkata, pengumuman berkenaan dibuat bagi mengenang jasa serta mengiktiraf para perajurit negara dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah banyak melahirkan rekrut tentera yang profesional.

"Kerajaan akan melaksanakan beberapa projek untuk memberi makna dan pengertian kepada pengisytiharan Port Dickson sebagai Bandar Tentera Darat.

"Ini kita serahkan kepada Menteri Pertahanan, Panglima ATM dan Panglima Tentera Darat untuk cadangkan pada kerajaan apa yang patut kita lakukan," ujarnya.

Najib berucap demikian pada majlis sambutan Aidilfitri Tentera Darat di Dataran Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di sini hari ini.

Hadir sama isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalannya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad; dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Najib menjelaskan, sumbangan Tentera Darat begitu besar dan selayaknya pengiktirafan itu diberikan.

Beliau yang pernah menjawat Menteri Pertahanan selama 14 tahun mengakui pengalamannya memimpin kementerian itu merupakan sesuatu yang manis sehingga menyedarkan beliau bahawa pengorbanan mereka terlalu besar kepada negara.

Menurut Najib, beliau berbangga dengan ATM sebagai pasukan keselamatan yang profesional selain mengukir sejarah dunia sebagai satu-satunya pasukan yang berjaya menewaskan ancaman komunis.

"Nyata sekali dalam lipatan sejarah, kuasa besar seperti Perancis dan Amerika Syarikat tewas di Vietnam. Ancaman komunis The New People's Army di Filipina sehingga hari ini masih menjadi ancaman," katanya.

Najib menambah, tidak keterlaluan sekiranya perkara ini disebut berulang kali memandangkan ada di kalangan orang ramai yang tidak tahu mengenai pencapaian ATM apatah lagi mengenang pengorbanan mereka.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url