UMNO parti Islam - PM

Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, UMNO adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat di negara ini.

Perdana Menteri berkata, ini kerana perjuangan UMNO adalah untuk membela dan menaik taraf hidup umat Islam termasuk membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutama di rancangan-rancangan Felda.

Beliau berkata, perubahan dalam kehidupan peneroka Felda yang kini menikmati kehidupan lebih baik berbanding dahulu hasil perjuangan kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah selari dengan perjuangan Islam.

''Apakah yang kita (kerajaan) lakukan sekarang tidak Islam? Siapa kata perjuangan kita tak selari dengan tuntutan Islam?

''Walaupun tidak ada label Islam tapi kita telah melaksanakan tuntutannya, melakukan perubahan sehingga mengubah nasib peneroka Felda.

''Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan UMNO sejak 53 tahun lepas berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam,'' tegas beliau.

Beliau menegaskan demikian dalam ucapannya pada Program Rahmat Ramadan Warga Felda (PRRWF) 2009 di Masjid An-Nur, Felda Teloi Timur di sini, hari ini.

Najib berkata, kerajaan tidak mahu Islam dianggap lemah tanpa menguasai pelbagai bidang termasuk ilmu, ketenteraan dan ekonomi.

''Kita tidak mahu melihat umat Islam berbalah seperti di Iraq sehingga masyarakat hidup dalam ketakutan di mana-mana,'' katanya.

Beliau turut meminta umat Islam mengambil iktibar ibadah pada bulan Ramadan dan perjuangan Rasulullah SAW dalam membentuk kekuatan rohani serta jasmani.

Perdana Menteri memberikan contoh, peperangan Badar yang berlaku pada bulan Ramadan, seramai 313 umat Islam berjaya menewaskan musuh yang lebih besar walaupun dalam keadaan berpuasa.

''Mengapa tidak ambil panduan menerusi perkara ini. Kalau menerusi ibadat puasa pada zaman Rasulullah boleh menang, mengapa kita pada zaman ini tidak boleh mencipta kejayaan,'' katanya.

Perdana Menteri juga berjanji akan memastikan peneroka Felda sentiasa mendapat perhatian daripada kerajaan.

''Sebab itu, sejak dulu semasa saya menjadi menteri dan Timbalan Perdana Menteri, saya minta untuk jaga Felda dan sekarang pun apabila menjadi Perdana Menteri, saya tak mahu lepaskan Felda," kata beliau.

Terdahulu, Najib bersama isteri, Datin Seri Rosmah Mansor turut menyerahkan sumbangan kepada anak-anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Beliau juga menyerahkan sumbangan Aidilfitri berjumlah RM1.34 juta kepada lebih 4,000 peneroka Felda Wilayah Alor Setar serta menyampaikan Anugerah Khas PRRWF 2009.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu dan Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url