KD Sri Inderapura terbakar di Lumut
Sebuah kapal pengangkut, KD Sri Inderapura terbakar ketika berlabuh di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini hari ini.
Menurut kenyataan Perhubungan Awam Markas Armada TLDM, kebakaran itu berlaku kira-kira pukul 6 pagi ketika terdapat seramai 77 anggota sedang bertugas termasuk enam pegawai dan 22 pelatih.
Katanya, kapal itu dijadualkan belayar ke Markas Wilayah Laut 2, Kota Kinabalu, Sabah, pada Isnin ini.
‘‘Kapal dari Skuadron LST (Kapal Pengangkut) itu dijadualkan belayar ke Malaysia Timur pada 12 Oktober ini untuk penghantaran barang-barang logistik ke Markas Wilayah Laut 2, Kota Kinabalu.
‘‘Kejadian tersebut merupakan kali kedua selepas terbakar pada 2002. Usaha memadamkan api telah dilakukan seawal kebakaran itu dikesan,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.
Kapal berkenaan yang dibina pada 1970 telah ditauliahkan dalam perkhidmatan TLDM pada 1995 dan kini telah berusia hampir 40 tahun. Menurut kenyataan itu lagi, KD Sri Inderapura mempunyai kekuatan anggota seramai 324 orang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, sehingga pukul 4 petang ini usaha memadam kebakaran itu masih berjalan dan orang ramai dapat melihat dengan jelas kepulan asap kapal berkenaan.
‘‘TLDM juga telah menubuhkan Lembaga Siasatan yang diketuai oleh pegawai berpangkat Kapten TLDM untuk menyiasat kejadian tersebut,’’ kata kenyataan itu lagi.
- UTUSAN