Top Ad 728x90

Modenas perkenal motosikal terbaru CT 110

Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memperkenalkan motosikal terbarunya, CT 110 menggunakan enjin berkuasa 110cc yang pernah digunakan pada model Kriss sebelum ini dengan sasaran menjual 2,000 unit model berkenaan sebulan.

Ketua Eksekutif Modenas, Bastamam Hamzah, berkata pelancaran model berkenaan dijangka dapat membantu syarikat mencapai sasaran jualan 60,000 unit motosikal bagi 2010, iaitu lapan peratus lebih tinggi daripada jualan keseluruhan tahun ini.

Katanya, pelancaran model GT 128 pada Mac lalu serta model CT 110, akan dapat membantu Modenas memperbaiki penguasaan pasaran keseluruhan daripada 12 peratus ketika ini kepada kira-kira 15 peratus.

"Kami berharap pengenalan CT 110 dan GT128 pada Mac lalu akan menjadi pemangkin bagi syarikat untuk terus mengorak langkah dalam memastikan Modenas sentiasa menjadi jenama pilihan ramai," katanya pada sidang media selepas melancarkan Modenas CT 110 di Shah Alam, Jumaat lalu.

Pelancarannya disempurnakan Pengerusi DRB-Hicom Bhd yang juga Pengerusi Modenas, Datuk Syed Mohamad Syed Murtaza.

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-Hicom Bhd, Datuk Seri Mohd Khamil Jamil.

Bastamam berkata, Modenas tetap akan menerus-

kan rancangannya untuk mengeluarkan motosikal dengan kapasiti yang lebih besar kerana terdapat permintaan bagi segmen sede-mikian daripada pasaran negara ini.

"Bagaimanapun, selain permintaan, kita juga perlu mengambil kira beberapa aspek lain seperti pengeluaran dan kos untuk mengeluarkan model sedemikian," katanya.

Beliau menambah, buat masa ini, syarikat lebih selesa untuk mengeluarkan model motosikal yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan iaitu dalam segmen 100 hingga 110cc.

"Segmen 100 hingga 110cc kekal menjadi penyumbang tertinggi kepada jualan syarikat iaitu antara 50 hingga 55 peratus," katanya.

Bastamam menambah, model yang terhasil kali ini dilengkapi brek cakera hadapan dwipiston untuk kuasa membrek yang lebih sempurna, transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar.

Katanya, model itu juga mampu menarik minat pengguna di bandar raya kerana reka bentuknya yang aerodinamik dan bergaya serta mudah dikendalikan semasa tunggangan di atas jalan raya yang sesak.

"Ia mempunyai empat warna pilihan iaitu Merah Iris, Emas Suria, Perak Sfera dan Putih Nova serta grafik terkini mampu menarik minat penunggang motosikal," katanya.

Beliau menambah, model itu dijangka mampu menepati cita rasa pengguna antara usia 18 hingga 25 tahun yang mahukan ketrampilan 'sporty' dan berani.

Harga jualan bagi model CT 110 ialah RM3,888 (penghidup tendang) dan RM4,188 (penghidup elektrik).

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90