Dungun dimasyhur Bandar Tenggiri
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib, berkata pusingan akhir Grand Slam Karnival GP Joran 2009 kali ini saja menyaksikan 197 kilogram ikan tenggiri berjaya dinaikkan oleh kaki pancing yang mengambil bahagian dalam kategori laut.
Katanya, replika itu diharap dapat memasyhurkan lagi bandar Dungun dan menarik kunjungan lebih ramai pelancong tempatan dan asing ke bandar ini.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Berita Harian yang sekali lagi memilih pantai Teluk Lipat, di sini sebagai lokasi kejohanan memancing sirkit terakhir Karnival GP Joran 2009 jelajah negara.
"Pesisiran pantai sepanjang 244 kilometer di negeri ini sangat sesuai untuk penganjuran sebarang aktiviti riadah, sukan dan rekreasi air, antaranya seperti kejohanan renang ekstrim, Kapas-Marang International Swimathon di Pulau Kapas dan Fiesta Candang Sotong di Pulau Redang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang pusingan akhir Grand Slam Karnival GP Joran 2009 Berita Harian di Padang Astaka di sini, semalam.
Za'abar berkata, pihaknya berbangga kerana pertandingan memancing Grand Slam Karnival GP Joran 2009 banyak membantu kerajaan negeri mempromosikan Dungun, khususnya sebagai lokasi pelancongan menarik untuk dilawati, apatah lagi setiap kali penganjuran pertandingan memancing itu, ia menarik ribuan pengunjung seluruh negara.
"Inisiatif sebegini adalah pemangkin kepada usaha memperkenalkan Dungun kepada pengunjung yang bukan saja datang untuk menyertai pertandingan memancing ini, tetapi dapat menggamit kunjungan seterusnya ke Dungun dan Terengganu amnya pada masa akan datang," katanya.
- BERITA HARIAN