Top Ad 728x90

,

PAS : Keperluan Muktamar Khas Luarbiasa?

Oleh : Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Latarbelakang:
Jarang sekali hati saya menjadi tidak sedap sepanjang melibatkan diri dalam kepimpinan Islam. Hati saya pernah bergolak dizaman bekas Presiden PAS yang mahsyur iaitu di zaman Allahyarham Dato’ Haji Mohamad Asri. Di peringkat itu, saya terpaksa bersuara dan menunjukkan sikap saya yang ada sebahagiannya dirakamkan melalui buku saya yang berjodol “kemuncup dalam perjuangan.” Di waktu itu, saya masih ingat betapa sukarnya saya untuk memilih antara menegur atau mendiamkan diri. Namun, setelah teringat bahawa Nabi SAW juga pernah ditegur oleh Allah SWT, maka, saya memutuskan untuk berdiri dengan santun dan saya pun katalah jua apa yang munasabah untuk dikata. Saya memilih untuk mengambil sikap ini berasaskan adanya hujah nas yang memboleh, bahkan dalam keadaan-keadaan tertentu bersifat wajib untuk berbuat demikian. Sampai ke hari inipun saya masih berpegang dengan pendirian ini.


Untuk lebih terpimpin, mari kita terlebih dahulu perhatikan tiga petikan surah dan latar peristiwa disekitar tiga kisah ini. Ia ada dirakamkan didalam kitab suci al-Quran.


i). Dalam peristiwa Badar setelah perang berakhir yang memberi kemenangan kepada tentera Islam, terdapat sejumlah 70 tawanan perang. Apabila Nabi SAW membuka perbincangan, apa yang patut dibuat dengan tawanan-tawanan perang ini, Saidina Umar berpandangan, mereka semua perlu dibunuh manakala Sadina Abu Bakar pula berpendapat lebih baik mereka dibenarkan bebas setelah diambil wang tebusan.


Ditakdirkan Allah, keputusan yang ada dilangit adalah selaras dengan syur yang dikemukakan oleh Saidina Umar. Ia berbunyi:

“Tidak patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan sebelum ia dapat melumpuhkan musuhnya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda duniawiah sedangkan Allah menghendaki (pahala) akhirat (untuk mu) dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. Kalau sekiranya tidak ada ketetapan yang telah terdahulu dari Allah, nescaya kamu ditimpa seksaan yang besar kerana tebusan yang kamu ambil.” (Surah Al-Anfaal Ayat 67 – 68)


Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam.

ii). Peristiwa kedua ialah sewaktu Nabi S.A.W. bersumpah tidak akan meminum sejenis madu dari bunga tertentu kerana menerima teguran dari salah seorang dari isteri baginda S.A.W. sewaktu berada di rumah salah seorang isterinya. Dalam peristiwa ini, sekali lagi Nabi S.A.W. di tegur dengan lafaz berbunyi:

“ Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah menghalalkannya bagi mu; kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri mu? Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah At-Tahriim Ayat 1)

iii). Dalam surah ‘Abasa, sekali lagi kita dapat saksikan teguran Allah S.W.T. ke atas Nabi S.A.W. yang dilihat tidak memberikan layanan kepada seorang buta ketika Baginda didatangi oleh pemimpin Quraish yang turut berada di dalam majlis yang sama pada waktu itu. Teguran Allah S.W.T. berbunyi:

“ Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa). Atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manafaat kepadanya. Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya.” (Surah ‘Abasa Ayat 1 – 6)

Apa isunya?

Isu yang ada di hadapan kita sekarang ialah isu kepimpinan. Biar saya mulakan begini. Saya boleh bersetuju dengan sebahagian dari tulisan Dr. Aziz Bari yang ada tersiar dalam akhbar Sinar Harian pada 19 Okt. 2009 di mukasurat N16. Antara lain, beliau mengemukakan teguran dan saranan seperti berikut :

“Dalam konteks sekarang Pakatan perlu dibenarkan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan supaya kita dapat membezakan kelainan mereka melaksanakan Perlembagaan.”

“Fungsi Dewan memantau kerajaan. Dalam sistem demokrasi berparlimen yang kita amalkan kerajaan pada hakikatnya dimiliki Dewan.”

“Dengan itu mungkin sudah sampai masanya Pas membuat langkah drastik, sama ada mendisiplinkan Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali atau menyingkirkannya terus.”

“Bagaimanapun, ini tidak mudah untuk berlaku kerana Hasan dilihat mewakili golongan yang pro-Umno dalam PAS seperti Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Nasharuddin Mat Isa dan penyokong mereka.”

“Dalam kekecohan di Selangor Abdul Hadi membisu sehingga di dalam parti sudah ada yang berkata bahawa Abdul Hadi adalah watak bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam PAS. Sementara itu Nasharuddin membela tindakan Hasan itu secara terbuka.”

“Saya fikir ada beberapa tokoh tertentu dalam PAS yang boleh merubah keadaan. Beberapa bulan kebelakangan ini imej dan kemampuan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak menonjol dan kelihatannya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin parti.”

“Saya tertarik dengan kelicikan Azizan menyiku Azman Shapawi, Naib Ketua Pemuda PAS dalam isu penjualan arak beberapa bulan lalu. Dalam pada itu organisasi PAS di Kedah dikatakan lebih baik daripada apa yang ada di Terengganu.”

“Buat masa ini, hanya 32 peratus pengundi yang yakin dengan kemampuan Pakatan. Jika PAS kekal dengan kapten yang ada ini (sokongan) mungkin akan berkurangan.”


Pandangan Saya
Atas pandangan inilah saya berfikir dan terus berfikir. Setelah berfikir sambil berdoa, maka saya berpuashati untuk mengatakan begini :
Kalau Umno boleh buat sesuatu dengan mengadakan Mesyuarat Agong Khas dan MCA pun boleh mengadakan EGMnya sehingga sempat menggugurkan Presiden dan Timbalan Presidennya. Demikian juga dengan PKR yang telah membuat pindaan Perlembagaannya melalui Kongres Khas mereka. Maka kita?

Walaupun isu MCA benda lain, iaitu rasuah, kita lagilah tidak payah khuatir untuk adakan Muktamar Khas kerana kita bukan membawa isu rasuah . Isu kita ialah isu dua tiga kerat pemimpin bermasalah. Masyarakat India pun boleh menentang Samy Vellu dengan mewujudkan parti lain. Maka pelik apa, kita panggil mesyuarat parti yang tergempar misalnya; mungkin dipanggil muktamar khaslah. Kalau nak kirakan, kitalah yang sepatut buat dulu. Demi “tajdid” kita perlu buat Mesyuarat Agong Luarbiasa ini. Bila Mesyuarat Agong tak mahu tukar Presiden, misalnya maka tidak mengapalah. Kita pakat-pakat belalah. Begitu juga dengan isu-isu disekitar Hassan Ali atau Mustafa Ali yang tak habis-habis dengan nak bekerjasama PAS dengan Umno ke arah kerajaan Perpaduan atau UG. Tenggelam-tenggelam, timbul, kemudian dihidupkan. Kemudian dimatikan pula bila nampak orang marah. Apa ni?

Tidak boleh jadi ni, kita duk “ghok-ghak” (kacau) begini. Orang boleh terima atau tak boleh terima, bawa ke Muktamar Khaslah; senang cerita. Biar tentu sah, nak ikut yang mana. Kita nak kekal yang mana dan buang yang mana. Dengan Muktamar Khas yang boleh menjelaskan dan memutuskan banyak perkara ini, puak-puak atas pagar yang membuat swing votes dan mempengaruhi keputusan pilihanraya juga akan berpuas hati samada nak swing atau tak nak swing lagi kerana mereka sudah dijelaskan oleh keputusan Muktamar Khas berkenaan. Mereka jelas.

Biarlah kita ambil mandat baru sekali lagi. Mesyuarat biar ringkas;ambil sehari penuh atau dua hari penuh misalnya tetapi prosesnya mesti ringkas, dan keputusannya adil, telus, tepat, terus dan jelas. Undi perlulah sulit dan dilakukan di atas kertas .
Untuk kali ini, saya dengan kuat merasakan bahawa perlu ada perubahan dalam pemain-pemain penting yang menduduki kerusi kepimpinan PAS diperingkat pusat. Kalau nak kata ini persiapan ke arah PRU ke 13 pun, kata gi lah. Dan memang betul begitulah.

Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Mursyidul Am PAS/Menteri Besar Kelantan
Bertarikh : 02 Zulkaedah 1430 / 21 Okt. 2009

SUMBER:
http://www.blogtokguru.com

3 Comment:

  1. Wahai Tok Guru,

    Ulasan saya berdasar kan pada petikan TG untuk di renung kan

    "Dari sini, jelas bahawa tidak ada sesuatu yang pelik dalam tradisi menegur pemimpin didalam Islam."

    Ya, tak salah jugak kalau saya menegur TG seperti petikan di atas. Dimana letak nya asas ke Islaman yang TG amal kan selama TG hidup di dunia ini? Kenapa TG amat benci kearah perpaduan sesama Islam untuk kebaikan. Bukan kah kita ini bersaudara? Salah kah usaha murni ini di terus kan? Kenapa pula TG merasakan berbaik baik dengan musuh Allah (Orang Kafir) adalah lebih utama? Tidak TG tahu (atau buat buat tak tau demi cita cita politik) yang Haram bau Syurga orang yang memecah belah kan perhubungan silatulrahim sesama Islam? TG harus ingat apa bila sampai ajal TG nanti, di alam kubur, TG akan di soal oleh Malaikat, terlebih lagi TG seorang yang paham berkenaan agama, kemana ajaran yang TG berikan semasa hidup. Masyallah alang kah hebat nya soalan Mungkar dan Nangkir nanti. Bagaimana agak nya TG nak menjawab nya kerana TG amat benci dengan perkara perkara yang mewajib kan kita sesama saudara Islam bersatu padu demi kebaikan Ummah?

    Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku pada TG sekarang, dan saya amat maklum dalam usia TG yang sudah menjangkau 78 tahun, pemikran TG sudah makin berkurangan dan selalu mengeluar kan kenyataan kenyataan yang agak dangkal dari seorang Tuan Guru yang di anggap hebat. Soal hukum hakam syurga neraka adalah di tangan ALLAH SWT yg maha Agung. Siapa kita yang boleh menentu kan urusan tersebut.

    Saya minta TG bertaubat lah kerana pintu taubat sentiasa terbuka. Kenyataan yang di keluar kan harus di fikir kan dahulu jangan sampai meluka kan hati orang yang mendengar nya. Nabi Muhammad SAW tidak pernah meluka kan hati sahabat sahabat nya, teguran di beri dengan baik, dan barang di ingat TG bukan lah maksum. Kepada pengikut pengikut TG yang taksub, kembali lah ke jalan yang benar kerana kita beriman kepada Allah, Nabi Muhammad SAW dan Al Quran, bukan kepada orang yang di gelar Guru tetapi lebih banyak memesong kan dari menunjuk kan kejalan yang benar.

    Yang paling basic, pun kita tak boleh fikir, kenapa harus kita bermusuh dengan sesama Agama. Barang di ingat di dalam UMNO pun ada Tok Guru tapi Tok Guru UMNO tidak pernah menentu kan urusan syurga dan neraka.

    Ya Allah yang maha Agung, kau buka kan lah hati mereka mereka ini agar menuju kepada Perpaduan demi kepentingan agama dari di pijak oleh musuh Islam yang nyata, TG harus ingat DAP dan PKR tidak akan memberi ruang kepada PAS bila mereka menjadi pemerintah nanti (Insyaalah tak akan berjaya) kerana di Selangor sahaja bila Hassan Ali menegur berkenaan penjualan arak, beliau telah di hentam teruk kiri dan kanan oleh PKR dan DAP. Mana suara TG dalam isu ini? Kalau HAdi Awang tak bersuara kenapa TG yang bersuara.

    Harap teguran saya dapat TG terima seperti petikan ayat di atas yang saya petik dari blog TG.

    ALLAH HU AKHBAR !!!!

    BalasPadam
  2. Senang aje Tuan Guru menuduh orang rasuah, sedang kan Tuan Guru sendiri bersahabat dengan orang yang di sabit kan dengan kesalahan rasuah semasa beliau menjadi TPM dulu. Boleh ke macam tu. Bila Tuan Guru dan Parti Tuan Guru semua nya betul kalau orang lain buat semua nya tak betul. Bak kata Nabil "Lu pikir lah sendiri"

    BalasPadam
  3. Kepada pengikut pengikut Tuan Guru yang taksub, balik lah ke pangkal jalan, masih belum terlambat untuk anda bertaubat. Tuan Guru bukan Nabi Muhammad yang harus kita ikuti. Mari lah kita berbalik kepada Al Quran. Cuba kita cari di dalam Al Quran, ada ke satu ayat yang mengalakkan kita bermusuhan sesama Islam?

    Kita harus bersatu padu agar menjadi lebih kuat supaya musuh akan jadi takut bila lihat kita bersatu padu kerana mereka akan senantiasa mencari jalan untuk melihat kita bercakaran supaya kita jadi lemah dan tat kala itu mereka akan menjahanam kan kita agar kita jadi bangsa yang paling hina. Masyallah, ya Allah lindungi lah kami dari perkara perkara yang buruk ini.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90