Bank Rakyat sediakan pakej pinjaman alternatif

Pakej pinjaman yang disediakan oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) boleh dijadikan alternatif bagi orang ramai agar tidak lagi membuat pinjaman kewangan kepada ah long.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, skim pajak gadai Islam Ar-Rahnu dan Pembiayaan Peribadi-i 1Aslah yang disediakan oleh bank berkenaan harus dimanfaatkan agar tidak terjebak dengan kegiatan peminjam wang haram.

''Pembiayaan peribadi yang disediakan turut memberi kadar keuntungan yang rendah iaitu serendah 3.25 peratus.

''Pinjaman ini tidak melibatkan proses permohonan yang rumit apabila satu permohonan boleh diluluskan dalam masa satu hari sahaja jika semua dokumen yang diberi adalah lengkap,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas berucap pada majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Langgan dan Menang Pembiayaan Peribadi-i 1Aslah Bank Rakyat di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim, Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Mangsor Saad dan Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Daud Tahir.

Bagi Pembiayaan Peribadi-I Aslah, Bank Rakyat memperuntukkan sebanyak RM16 bilion untuk tahun ini dan RM13 bilion untuk tahun depan.

Setakat ini, bank berkenaan telah mengeluarkan RM13.3 bilion dengan 900,000 peminjam di seluruh negara.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, pakej ini juga menyediakan pinjaman yang cepat untuk orang ramai yang mungkin memerlukan wang dalam kadar segera.

''Sebagai contoh, jika ada barang kemas, mereka hanya perlu memajakkan barang kemas itu kepada Bank Rakyat dan wang tunai akan diterima dalam masa tidak sampai sepuluh minit.

''Di samping mendapat pinjaman wang, mereka berpeluang untuk memenangi hadiah yang menarik yang disediakan oleh pihak bank,'' jelasnya.

Dalam majlis penyampaian hadiah tersebut, Siti Rogayah Zailan, 29, diumumkan sebagai pemenang hadiah utama yang membawa pulang Proton Exora transmisi automatik bernilai RM70,000.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url