Bawa kamus dalam peperiksaan

Oleh HAZIMY HASSAN

Langkah kerajaan untuk membubarkan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) adalah tepat. Namun, dalam kita hendak berbalik semula kepada dasar asal sebelum PPSMI, kita juga tidak mahu pencapaian anak Melayu dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menjadi merosot.

Perkara utama yang perlu ditekankan ialah cara bagaimana untuk menjadikan anak Malaysia lebih minat dan cenderung untuk menguasai bahasa Inggeris melangkaui sempadan peperiksaan semata-mata. Jika umat Islam diseru untuk menjadikan Kitab Al-Quran dan Kitab Al-Hadis sebagai pegangan hidup beragama, maka sebagai pelajar pula, amat wajar menjadikan kamus sebagai rakan akrab dalam kelas mahupun luar kelas.

Jelas, menjadikan budaya membaca kamus sebagai aktiviti sampingan mampu memberi nilai tambah ke arah menguasai bahasa Inggeris.

Amalan tradisi dalam sistem peperiksaan awam mahupun peperiksaan dalaman tidak membenarkan kamus dibawa masuk untuk mata pelajaran bahasa. Amalan ini telah berakar umbi dan tiada pun kajian dibuat untuk dinilai semula apakah cara ini mampu menggalakkan untuk anak bangsa kita pandai bahasa Inggeris? Sistem pendidikan kita terlampau berorientasikan sistem menghafal dan sistem peperiksaan.

Untuk mensasarkan supaya anak bangsa kita pandai dalam bahasa Inggeris, perubahan dasar dan sistem dalam bidang pendidikan adalah amat perlu. Sememangnya anak bangsa kita tidak tahu dan hafal makna semua perkataan bahasa Inggeris. Di sinilah timbulnya keperluan untuk menjadikan kamus dwi bahasa Inggeris-Bahasa Melayu sebagai satu elemen penting untuk anak bangsa kita menguasai bahasa Inggeris.

Pertamanya, proses P&P di sekolah sendiri mesti menggalakkan pelajar untuk membawa kamus dwi bahasa setiap hari di sekolah. Selain daripada dapat membantu pelajar untuk merujuk apakah makna sebarang perkataan Inggeris dalam bahasa ibunda, langkah ini juga dapat mengelakkan pelajar daripada terlalu bergantung kepada guru untuk mengetahui apakah makna sesuatu perkataan Inggeris.

Memang telah ada kamus elektronik dwibahasa yang tersedia dijual di pasaran, namun hanya minoriti kecil sahaja pelajar yang mampu membelinya. Sebahagian besar majoriti pelajar tidak mampu untuk membelinya. Itulah sebabnya penggunaan kamus dwibahasa menjadi lebih praktikal.

Setelah proses P&P yang melibatkan penggunaan kamus, maka adalah perlu juga untuk direvolusikan proses peperiksaan dengan dibenarkan membawa kamus dwibahasa dalam menjawab kertas Bahasa Inggeris. Maksudnya bagi subjek Bahasa Inggeris di peringkat UPSR, PMR mahupun SPM dan STPM, kamus dwibahasa dibenarkan dibawa masuk sebagai bahan bantu untuk menjawab soalan.

Konsep open book ini harus diperkenalkan sebagai salah satu cara untuk melonjakkan pencapaian pelajar dalam bahasa Inggeris kerana motivasi diri pelajar akan bertambah kerana beban untuk menghafal makna adalah terlalu berat.

Walaupun begitu, keizinan membawa kamus dwibahasa semasa ujian bulanan, peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan akhir tahun bagi murid tahap satu sekolah rendah tidak wajar dibenarkan. Dicadangkan keizinan ini diberikan kepada murid Tahun Empat hingga Tahun Enam di sekolah rendah dan juga murid Tingkatan Satu hingga Tingkatan Enam Atas di sekolah menengah.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url