Jangan biar Chin Peng jejak kaki di Malaysia
Di Malaysia yang makmur ini bukan semua perkara boleh ditolak ansur jika perkara tersebut mampu menyebabkan luka yang lama berdarah kembali. Parut luka yang lama sudah sembuh, jadi jangan kerana seorang bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang ingin kembali ke kampung halaman kerana kerinduan, kita mudah saja melupakan sejarah hitam yang telah dilakukannya.
Kisah kekejaman pengganas komunis dan perjuangan kerajaan yang memerintah menghapuskan aktiviti-aktiviti pengganas dan ideologi songsang ini sejak zaman darurat (1948-1960) hingga ke tahun 1980-an masih mampu diingati generasi tua. Cuma sejak akhir-akhir ini filem dan drama tentang pengganas komunis kurang dihasilkan menyebabkan generasi muda menganggap ia 'perkara kecil dan remeh' dan perlu dimaafkan.
Bagi generasi yang lahir di era 1950-1960-an, kisah keganasan komunis di Sungai Siput, Perak yang membunuh pengurus ladang berbangsa Inggeris yang membawa kepada pengisytiharan darurat sudah sebati dalam minda.
Oleh itu, sebarang perkara atau individu yang dikaitkan dengan komunis tidak perlu dilayan dan diizinkan menjejakkan kaki walaupun seinci pun di bumi Malaysia dan diharamkan nama mereka disebut langsung.
Walaupun ada bekas ahli PKM mendabik dada mengatakan mereka juga adalah pejuang kemerdekaan, tetapi tidak perlu kita bertegang leher atau bertekak untuk mengatakan sebaliknya.
Sejarah telah membuktikan siapa pejuang siapa petualang. Jangan ingat generasi baru buta sejarah. Sejak pilihan raya umum (PRU) lalu berakhir ada beberapa individu dilihat seolah-olah hilang pedoman dan kata-kata untuk memikat penyokong yang telah beralih 'kasih'.
Mengapa berjuang untuk orang yang telah tewas dalam perjuangannya. Mengapa tidak berjuang untuk membela rakyat Malaysia yang patut dibela dengan sewajarnya. Rakyat sebegini perlu diberi keyakinan bahawa masih ada pemimpin yang komited membantu mereka.
Kepada rakyat yang cintakan agama mesti menghalang sebarang usaha untuk membawa bekas pemimpin PKM kembali ke bumi yang pernah disimbah dengan darah anak bangsa. Jika pun agenda politik memisahkan kita, jangan sampai agenda ummah yang semakin lesu menemui jalan buntu.
Di blog ideologi sesat yang dipelopori Karl Marx, dikhabarkan telah wujud perjuangan untuk menjustifikasikan perjuangan komunis sebagai sebahagian perjuangan kemerdekaan. Kalau benar mengapa majoriti rakyat tidak senada dengan perjuangan mereka sejak zaman Jepun di Malaya.
Justeru, langkah ingin membenarkan Chin Peng masuk ke negara yang pernah didiaminya ini tidak perlu langsung dilayan walaupun seribu taubat dan muslihat dibentangkan beliau. Melainkan dia sanggup dibicarakan atas jenayah-jenayah perang yang dilakukannya.
Bagi kami generasi muda, jasa pejuang yang terkorban di dalam Peristiwa Bukit Kepong dan pengorbanan askar-askar Melayu melawan komunis perlu dihargai dengan mengharamkan bekas pemimpin PKM itu bergerak bebas di negara ini.
Walaupun ada generasi tua ada yang sudah nyanyuk dan kurang jelas penglihatannya tapi jangan terkejut apabila disebut nama Chin Peng mereka akan melenting marah dan keluar bahasa yang tidak enak didengar.
Walaupun orang Melayu terkenal dengan sikap toleransi dan dianggap ada penyakit mudah lupa namun nama Chin Peng sudah menjadi sejarah yang tidak akan disebut sejak dulu, kini dan selamanya. Selamat tinggal Chin Peng.
- UTUSAN