Facebook saluran pemimpin kekalkan hubungan dengan rakyat
Pengarah Pemasaran Facebook, Randi Zuckerberg berkata, beliau gembira apabila pemimpin negara termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan laman web itu untuk berkomunikasi dengan rakyat.
"Selain beliau (Najib), Presiden Amerika Syarikat, Barrack Obama dan Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy antara pemimpin yang turut menggunakan Facebook," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah pada Persidangan Kemuncak Pemuda (YES) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Zuckerberg berkata, kini terdapat 3.5 juta pengguna Facebook di Malaysia berbanding 300 juta orang di seluruh dunia.
"Kira-kira 70 peratus pengguna Facebook adalah terdiri daripada penduduk di luar Amerika Syarikat.
"Rantau Asia Tenggara merupakan kawasan yang mencatatkan pertumbuhan pengguna Facebook yang paling tinggi," katanya.
Menurutnya, Facebook bukan sahaja digunakan sebagai saluran untuk berkawan tetapi ia juga dimanfaatkan untuk tujuan politik, perniagaan dan gerakan sosial.
"Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama merupakan personaliti paling popular di Facebook selepas raja pop, Michael Jackson.
"Facebook membenarkan penduduk dunia mengikuti perkembangan terkini pelbagai isu semasa termasuk pilihan raya di Amerika Syarikat," katanya.
Zuckerberg berkata, Facebook pada masa yang sama berperanan dalam menyebarkan nilai keamanan kerana ia merapatkan jurang antara penduduk di duna.
"Penduduk dari Israel umpamanya telah mengenali kawan-kawan dari Palestin walaupun kedua-dua ini adalah bermusuhan.
"Orang ramai turut menggunakan facebook sebagai saluran untuk melancarkan bantahan ke atas kejadian yang tidak betul di seluruh dunia," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Facebook mengambil berat tentang gejala penyamaran dan akan bertindak tegas ke atas mereka yang menyalahgunakan laman web sosial itu.
"Kita akan menyekat akaun pengguna yang melakukan penyamaran atau membuat kesalahan lain," katanya.
- UTUSAN